Sesebuah kerajaan yang cekap mampu menyelesaikan masalah menerusi institusi yang kukuh, berdasarkan undang-undang dan penguatkuasaan yang berkesan. Bukannya dengan hanya melaungkan slogan-slogan yang kosong yang berniat mengaburi realiti di lapangan.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek telah menarik perhatian di media sosial apabila mengajak murid-murid di sebuah sekolah mengucapkan “Happy Birthday PMX, We Love You”.

Walaupun perbuatan mengucapkan selamat hari jadi kepada seseorang tidak salah, tetapi mengajak pelajar sekolah untuk meluahkan kekaguman terhadap seorang pemimpin politik dilihat seakan-akan mempolitikkan institusi pendidikan.

Terbaru, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad di dalam satu acara di Terengganu telah mengarahkan semua pengetua dan guru besar sekolah untuk mewajibkan laungan “Kami benci buli” oleh para pelajar sebelum dan selepas sesi persekolahan. 

Ini bukan langkah yang praktikal. Sesebuah negara tidak boleh ditadbir menerusi laungan slogan sahaja. Sebaliknya ia memerlukan pelaksanaan sistem yang mantap, rangka kerja penguatkuasaan yang jelas, dan kemahuan politik yang ikhlas. Laungan slogan pula hanya satu 'wayang' yang tidak membawa perubahaan bermakna.

Masalah buli ini bukannya baharu, dan ia berpunca dari pelbagai sebab seperti bimbingan keluarga yang tidak mencukupi, kelemahan dalam pengurusan sekolah, kekurangan sokongan kesihatan mental, budaya rakan sebaya yang berbahaya, dan toleransi sistemik terhadap salah laku. Maka, menangani gejala buli memerlukan strategi yang komprehensif, bukannya laungan slogan. Tingkah laku kerajaan yang seolah-olah meremehkan masalah ini adalah tanda urus tadbir yang lemah dan satu percubaan mengelak tanggungjawab.

Lebih membimbangkan, ia juga mencerminkan bahawa kerajaan hari ini lebih mengutamakan 'wayang politik' daripada pemantapan institusi. Sebelum ini “We love PMX”, dan kemudian “Kami benci buli”. Apa pula slogan baru yang akan datang? Wajarkah dasar negara diperkecilkan kepada satu siri slogan kosong sahaja?

Sama ada ia masalah buli atau rasuah, atau pembaharuan pendidikan dan keselamatan awam, kemajuan sebenar bergantung kepada penggubalan dasar yang ketat, pengurusan yang cekap, dan penguatkuasaan yang tegas. Pendekatan laungan slogan pula bukan sahaja gagal menangani punca masalah, tetapi juga menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan.      

Maruah dan kredibiliti sesebuah negara adalah berdasarkan institusi yang kukuh, dan ini mengambil masa yang lama untuk dirancang, memerlukan pelaburan yang berterusan, dan akauntabiliti yang konsisten. Bukannya slogan dan wayang politik yang tidak memberi kesan. Sekiranya sikap ini diteruskan, maka masalah akan berterusan biarpun betapa banyak slogan dilaungkan.

Sekiranya slogan betul-betul mampu menyelesaikan semua masalah, maka laungkanlah “Kami benci rasuah” dan “Kami benci jenayah” setiap hari. Jika ia berkesan, maka mansuhkanlah badan kehakiman, polis, perundangan, dan menukarkan semua penjara kepada taman permainan awam.

Selain itu, meremehkan isu nasional kepada laungan slogan bukan sahaja seolah-olah tamparan kedua kepada keluarga mangsa, tetapi juga satu penghinaan kepada kerajaan. Sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab harus mengelak sandiwara ini, dan sebaliknya menumpukan usaha dan sumber kepada pembinaan sistem yang berjangka panjang, boleh dikuatkuasakan dan bertanggungjawab. Jika tidak, masalah buli akan berterusan dan kerajaan akan terus kehilangan keyakinan rakyat.

Kerajaan harus mengutamakan langkah konkrit dan berdasarkan fakta, dan juga berpaksikan undang-undang. Justeru itu, Parlimen harus menggubal Akta Anti Buli, atau meminda undang-undang pendidikan dan perlindungan kanak-kanak yang sedia ada, untuk mentakrifkan secara jelas semua bentuk buli termasuk fizikal, lisan, siber dan psikologi. Ia juga harus menekankan keperluan pelaporan mandatori, dan mana-mana pentadbir, guru ataupun pelajar yang sengaja menyembunyikan kejadian buli harus dikenakan tindakan. Mangsa dan ahli keluarga juga berhak diberi perlindungan, mendapatkan penyelesaian kehakiman dan menerima bantuan daripada kerajaan sewajarnya.

Kedua, Kementerian Pendidikan harus mewajibkan semua sekolah untuk melaksanakan Tatakelakuan Anti Buli yang seragam dan berpaksikan undang-undang, dan dikuatkuasakan oleh jawatankuasa disiplin yang terlatih. Saluran aduan yang akan menjaminkan kesulitan identiti pengadu juga harus disediakan. Pihak berkuasa pendidikan peringkat negeri juga harus sedia campur tangan dalam membantu sekolah-sekolah yang berhadapan masalah buli yang serius dan berterusan, manakala pengetua atau pentadbir sekolah yang gagal bertindak harus dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.

Ketiga, sokongan kesihatan mental juga harus diperkukuhkan. Kaunselor bertauliah harus ditempatkan di semua sekolah, dan diberi akses kepada pelajar. Program intervensi awal juga harus disediakan untuk kedua-dua mangsa dan pelaku, di mana pembuli wajib melalui program bagi perbaiki tingkah laku.

Keempat, penglibatan ibu bapa dan masyarakat juga penting. Program latihan juga harus diadakan untuk menambah baik keupayaan membimbing dan memantau kelakuan kanak-kanak. Program-program ini harus disokong Peraturan Tanggungjawab Ibu Bapa yang mewajibkan ibu bapa bertanggungjawab mencegah gejala buli dikalangan anak masing-masing. Sebuah jaringan pemantauan anti buli juga harus ditubuhkan untuk memastikan buli bukan sahaja dibasmi di kawasan sekolah, tetapi juga di luar sekolah seperti tempat awam dan alam siber.

Kesimpulannya, sebuah pendekatan yang komprehensif yang menggabungkan perlindungan perundangan, penguatkuasaan institusi, penglibatan masyarakat dan pembaharuan pendidikan amat diperlukan untuk menangani penularan gejala buli dan melindungi keselamatan setiap kanak-kanak. Mana-mana usaha untuk meremehkan isu ini kepada laungan slogan semata-mata adalah tamparan kedua kepada mangsa, dan pengakuan kerajaan yang enggan memandang serius isu ini.

Dato' Dr. Monna Ong
Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Dasar Awam dan Penyelidikan Kos Sara Hidup Rakyat MCA
15 Ogos 2025