Dasar Wanita Negara 2025–2030 di bawah Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) yang diumumkan pada Mac lalu mencerminkan hala tuju menyeluruh dalam aspek keselamatan keluarga, perlindungan wanita dan pemerkasaan ekonomi. Fokus kepada isu keganasan rumah tangga serta penyertaan wanita dalam tenaga kerja, keusahawanan dan pembiayaan mikro menunjukkan bahawa kerajaan sedar akan peranan besar wanita dalam pembangunan negara. Namun, kejayaan dasar ini bergantung kepada pelaksanaan dan pemantauan yang berkesan.

Bagi menangani keganasan rumah tangga, pusat sokongan sehenti wajar diwujudkan di bandar dan luar bandar dengan menyediakan khidmat guaman, kaunseling dan perlindungan segera. Pendidikan kesaksamaan jantina dan antikeganasan perlu dimasukkan dalam kurikulum sekolah, dan golongan lelaki perlu memainkan peranan aktif dalam mencegah keganasan serta membina keharmonian keluarga.

Bagi pemerkasaan ekonomi pula, kerajaan disaran menubuhkan “Pusat Penasihat PKS Sehenti” bagi menyediakan khidmat latihan, bantuan pinjaman, pemasaran dan e-dagang termasuk peluang dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Insiatif Belt and Road (BRI). Golongan ibu tunggal, wanita kurang upaya dan peniaga kecil harus diberi keutamaan agar tidak tersisih.

Wanita MCA turut menggerakkan Petisyen Kesaksamaan Gender dan Hak Wanita, menuntut undang-undang lebih tegas menentang keganasan berasaskan gender selaras dengan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW). Usaha ini sememangnya memerlukan penyertaan kolektif masyarakat dan tidak mungkin dapat dicapai hanya dengan penyertaan individu semata-mata.

Wanita MCA juga berharap agar kerajaan dapat mewujudkan mekanisme pemantauan telus dengan laporan tahunan Dasar Wanita Negara ini, serta melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan wanita dalam membuat penilaian dasar. Usaha ini perlu dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak dan Wanita MCA akan terus menggalakkan orang ramai tanpa mengira jantina untuk menyokong inisiatif ini demi ke arah kesaksamaan.

Hanya dengan perlindungan, pendidikan, pemerkasaan dan dasar yang jelas, kita dapat mewujudkan Malaysia yang lebih adil, selamat dan bermaruah untuk golongan wanita.

Datuk Wong You Fong
Ketua Wanita MCA Kebangsaan
4 September 2025