Ucapan Perasmian

Datuk Chong Sin Woon, Setiausaha Agung MCA

Mesyuarat Agung Tahunan ke-3 Perwakilan Wanita MCA ke-17

1. Ulang Tahun Ke-50 Wanita MCA

Ulang Tahun ke-50 Wanita MCA ini adalah satu pencapaian yang membanggakan dan menjadi titik permulaan bagi pembaharuan. Sepanjang 50 tahun ini, Wanita MCA telah membuktikan menerusi dedikasi dan usaha mereka bahawa “wanita setanding dengan lelaki” bukan hanya percakapan kosong, tetapi satu realiti.

Logo dan tema “Wanita Perkasa, Melangkah ke Hadapan” bukan sahaja melambangkan keberanian, tanggungjawab dan misi Wanita MCA, tetapi juga membuktikan komitmen untuk membawa kuasa wanita kepada masa depan yang lebih luas menerusi pendekatan yang segar, profesional dan moden.

Di sini, saya mengucapkan tahniah kepada Wanita MCA atas kejayaan dalam menganjurkan 9 acara berskala besar, seperti “Majlis Bunga Mekar” kepada “Bakat Mekar” di mana setiap acara menyerlahkan keupayaan organisasi, perpaduan dan kreativiti Wanita MCA.

Saya juga mahu merakamkan ucapan terima kasih kepada Wanita MCA di seluruh negara atas sokongan mereka yang membolehkan rakyat menyaksikan semangat Wanita MCA yang semakin kuat sejak 50 tahun lalu.

Dari segi dasar, Wanita MCA telah mempamerkan tanggungjawab sosial yang tinggi. Daripada mempromosikan petisyen kesaksamaan gender CEDAW (Konvensyen Penghapusan Diskriminasi Terhadap Wanita) dan menyokong pindaan Perlembagaan untuk melindungi hak ibu, serta menyokong sistem percukaian GST yang lebih adil, menggalakkan dasar tempat kerja yang mesra wanita, memberi tumpuan kepada kesan ke atas keluarga dalam pembaharuan KWSP, dan memperkukuhkan usaha menangani keganasan serta memperjuangkan keselamatan wanita – Wanita MCA bukan hanya berkhidmat kepada masyarakat, tetapi juga menggalakkan kemajuan institusi negara.

Rakan wanita seperjuangan,

Saya ingin menegaskan, salah satu punca yang membolehkan MCA mencapai tahap sekarang adalah kerana kuasa Wanita MCA yang stabil, mesra dan kuat. Anda semua adalah kekuatan masyarakat, kekuatan keluarga, dan satu kuasa yang amat diperlukan oleh negara ini.

Usia 50 tahun ini satu penghormatan besar, tetapi lebih lagi, ia merupakan satu tanggungjawab besar. Marilah kita terus maju bersama demi masa depan. Anda semua di sini adalah wanita yang cemerlang, dan peranan anda semua amat diperlukan demi masa depan yang lebih baik.

2.      Menyokong Sepenuhnya Sasaran 30% Calon Wanita

Izinkan saya menegaskan sekali lagi komitmen saya: Iaitu sokongan penuh terhadap seruan Wanita MCA untuk sekurang-kurangnya 30% calon wanita dalam parti kita.

Saya mengulangi pendirian ini setiap tahun, dan saya mengulanginya sekali lagi pada tahun ini: Kita mesti memupuk lebih ramai pemimpin wanita, mencalonkan lebih ramai calon wanita, dan mengukuhkan latihan bagi membolehkan lebih ramai wanita menjadi pemimpin.

Jawatankuasa Pusat sudah sedia menambahkan bilangan calon wanita pada bila-bila masa, kerana negara kita memerlukan kekuatan dan wawasan kaum wanita untuk menggalakkan pembangunan negara serta masyarakat yang lebih menyeluruh, seimbang dan berperikemanusiaan.

3. Pendirian Politik Dan Perkhidmatan Awam Tidak Boleh Dipisahkan

PRU Sabah yang melabuhkan tirainya baru-baru ini adalah satu pengajaran besar: MCA harus kembali kepada asas misi politiknya. Misi ini sebenarnya mudah sahaja, tetapi semakin dilupakan parti-parti politik disebabkan tekanan pentadbiran dan persaingan. Misi ini adalah pendirian politik yang tegas dan jelas, serta perkhidmatan demi rakyat di peringkat akar umbi. Kedua-dua prinsip ini amat diperlukan, dan mana-mana ketidakseimbangan antara kedua-dua ini akan membawa kemudaratan.

Kekalahan MCA yang lalu bukannya kerana kekurangan perkhidmatan kepada masyarakat, ataupun kekurangan usaha daripada ahli-ahli parti. Parti kita antara yang paling kuat bekerja di dalam negara ini, menganjurkan paling banyak aktiviti, dan giat membantu rakyat dalam isu-isu kehidupan harian mereka. Punca masalah sebenarnya adalah apabila pendirian politik kita tidak jelas terutama dalam isu-isu penting.

Apabila dasar yang memudaratkan rakyat timbul, rakyat mengharapkan kita untuk menyemak dan mengimbangnya, namun kita gagal membetulkan kesilapan ini di peringkat dasar; misalnya apabila rasuah dan penyalahgunaan kuasa berlaku, rakyat mengharapkan kita untuk memutus hubungan dengan pihak bersalah dan bersuara menentang mereka, tetapi kita tidak mengambil tindakan yang tegas.

Sesebuah parti politik yang tidak tegas pendiriannya pada masa kritikal akan diabaikan rakyat, tidak kira betapa baik perkhidmatannya. Ini bukan maksud rakyat tidak berterima kasih kepada kita, tetapi mereka lebih bimbang sama ada hala tuju negara betul atau tidak. Adakah prinsip parti itu betul atau tidak, dan bolehkah pemimpin politik menjaminkan masa hadapan mereka?

4. Keputusan PRU Sabah: Cerminan Realiti

PRU Sabah telah menyampaikan satu mesej yang jelas kepada kita. Apabila DAP berhadapan dengan skandal rasuah yang disertakan bukti video yang tidak dapat dinafikan, mereka membisu. Apabila mereka tuntut penjelasan terhadap hak asas Sabah termasuk hak 40% hasil negeri, DAP mengelak menjawab. Daripada menangani isu-isu yang dekat di hati rakyat Sabah, DAP memilih mengulangi slogan “kestabilan” yang sama dan dilihat terlalu sibuk merebut jawatan menteri.

Ini mencerminkan kesilapan MCA dahulu. Apabila hala tuju kita salah, apabila pendirian kita tidak jelas, dan apabila prinsip kita digadaikan, ini sudah tentu akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kita.

Di dalam politik, apa yang paling bahaya bukannya skandal, tetapi keengganan untuk mengakuinya. Masalahnya bukan wujudnya masalah, tetapi berpura-pura bahawa masalah tidak wujud. Masalahnya bukan dalam membuat kesilapan, tetapi mengulangi kesilapan sama yang mengkhianati keyakinan rakyat.

PRU Sabah ini jelas menyerlahkan satu fakta: Para pengundi tidak lagi mahu ditipu. Khususnya di Sabah. Mesejnya sudah jelas: apabila sesebuah parti politik mengabaikan prinsipnya dan pemimpinnya tiada lagi integriti, maka pengundi tidak teragak-adak untuk menghukum mereka.

5. Pendirian Politik Bukan Hanya Satu Slogan, Tetapi Harus Disertakan Tindakan Dan Pencapaian Yang Sebenar

Sememangnya membuat pendirian politik dan melaungkan slogan-slogan yang betul tidak cukup untuk memenangi hati dan sokongan rakyat.

Jika seseorang hanya melaungkan slogan, tetapi gagal berkhidmat untuk rakyat, akhirnya mereka akan ditolak rakyat.

Akan tetapi, zaman politik hari ini sudah berubah. Rakyat akan memerhati pencapaian anda, masalah yang anda berjaya selesaikan, sama ada anda berani bersuara atau tidak, dan kecekapan dalam melaksanakan tanggungjawab anda. Oleh itu, kedua-dua pendirian politik dan perkhidmatan rakyat adalah penting; ini adalah asas politik.

Pendirian politik dan perkhidmatan rakyat umpama dua akar tunjang kepada parti politik atau pemimpin politik. Hanya apabila kedua-dua akar tunjang ini kuat, bolehlah kita terus tumbuh mekar dan membesar mencapai tahap yang baharu.

6. Memahami Harapan Dan Keluhan Rakyat Kunci Kepada Penetapan Hala Tuju

Suara rakyat mudah dan jelas: Apakah yang mereka tidak suka dan tidak mahu?

Rakyat tidak mahu rasuah dan penyalahgunaan kuasa; Rakyat tidak mahu ekstremisme; Rakyat tidak mahu bangsa dan agama dimanipulasi; Rakyat tidak suka ketidakadilan, layanan berbeza, keangkuhan birokrasi, dan penipuan politik.

Apa pula harapan rakyat? Rakyat mengharapkan kehidupan yang aman dan makmur, pertumbuhan ekonomi, pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi, serta keadilan dan kebenaran ditegakkan. Rakyat tidak mahu dipinggirkan, dan rakyat mahu sebuah rumah yang selamat serta stabil untuk membesarkan anak-anak mereka dengan tenang.

Oleh itu, apabila keperluan rakyat diutamakan, hala tuju parti kita menjadi jelas.

7. Sebuah Pendekatan Yang Lebih Tegas Diperlukan Untuk Masa Depan

Apakah hala tuju MCA? Apa lagi yang MCA boleh menyumbang kepada negara ini? Kita harus menjawab soalan ini secara jelas dan tegas.

Pertama sekali, kita harus tegas membantah rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kita tidak boleh hanya bersuara, tetapi kita juga harus mengambil tindakan juga.

Kedua, kita harus mengamalkan pendekatan yang sederhana. Negara ini tidak boleh boleh condong ke arah ekstremisme, mempolitikkan agama, atau mewujudkan permusuhan antara kaum.

Ketiga, kita harus menumpukan kepada pembangunan ekonomi. Apa rakyat mahu adalah peluang pekerjaan dan pendapatan yang nyata, bukannya janji kosong.

8. Daripada Berebut Kek, Lebih Baik Membesarkannya

Selama berdekad-dekad, Malaysia terperangkap dalam pertikaian perkauman, dan puncanya mudah: sumber yang ada tidak mencukupi. Apabila kewangan, peluang, teknologi dan daya saing perniagaan tidak mencukupi, maka kehidupan masyarakat menjadi terhad dan tertutup. Kita saling bersaing, saling mencurigai dan saling berebut apa yang sedikit itu.

Naratif ini mesti diubah. Sesebuah negara tidak akan menjadi lebih makmur kerana rakyatnya yang sering bergaduh sesama sendiri, sebaliknya ia perlu lebih berdaya saing. Kita mesti menjadi pemimpin yang mengubah negara ini daripada sekadar “berebut kek” kepada “mengembangkan kek”. Untuk itu, kita memerlukan cara berfikir yang lebih luas. Ini juga memerlukan kepimpinan yang berwawasan dan berani.

Sebab itu saya sering berkata:

Di tingkat pertama, anda nampak sampah di tanah.

Di tingkat kesepuluh, anda nampak seluruh kejiranan.

Di tingkat kedua puluh, anda mula nampak langit dan ufuk.

Perspektif membentuk pemikiran kita, dan pemikiran menentukan arah tuju kita.

Namun hari ini, wacana negara terperangkap dalam perdebatan remeh — di mana orang boleh minum arak, sama ada seluar pendek sesuai, atau apakah definisi “orang Malaysia sebenar”. Ini semua perbalahan sempit yang tidak berkesudahan dan tidak membawa manfaat kepada negara.

Kita tidak boleh membiarkan diri kita hanyut dalam kitaran ini. Malaysia memerlukan fokus baharu dengan segera — bersaing ke luar, bukan membinasakan diri dari dalam.

9. Memajukan Negara Dengan AI, Digital Dan Rangkaian Antarabangsa

Kita tidak boleh terus terperangkap dalam minda zaman lama; kita mesti berdiri seiring ketinggian masa depan.

Siapa yang kuat pada hari ini? Mereka yang menguasai teknologi; syarikat yang menguasai AI; mereka yang menguasai data. MCA mesti menjadi parti politik yang benar-benar memahami teknologi dan paling berani memacunya — termasuk membantu PKS melalui transformasi digital, memperkenalkan pendidikan dan kemahiran AI, memajukan pendidikan STEM, menubuhkan inkubator belia AI, membawa masuk modal, teknologi dan rangkaian diaspora Cina, serta membina platform global usahawan Cina untuk membuka peluang kepada golongan muda.

Kerana ini bukan sahaja keperluan masyarakat Cina, tetapi keperluan negara. Kita mahu rakyat Malaysia melihat bahawa jika MCA kuat, negara lebih kuat.

10. Malaysia Tidak Boleh Terus Terperangkap Dalam Perkara Remeh Di Sebalik Dunia Yang Berubah

Tahukah anda, bahawa dalam “Double 11” tahun ini, bintang paling menonjol bukan lagi telefon pintar, barangan elektrik atau kosmetik, tetapi robot humanoid?

Banyak syarikat robotik humanoid di China menerima lambakan pesanan, termasuk tempahan bernilai ratusan juta yuan melibatkan ribuan unit. Kebanyakannya habis terjual dalam masa 20 minit selepas dilancarkan.

Sebaliknya di Malaysia, “Double 11” masih tertumpu kepada pembelian keperluan harian seperti tisu tandas, tuala dan barangan kegunaan rumah. Ini menunjukkan bahawa corak dan tahap penggunaan Malaysia semakin jauh ketinggalan berbanding negara maju.

Dunia telah berubah, dan kita juga mesti berubah. MCA mesti menyerap dan menguasai teknologi serta memimpin anak muda untuk mengejar dunia.

11. Hentikan Politik Emosi, Fokus Semula Pada Keupayaan Dan Prestasi

MCA mesti keluar daripada lingkaran kecil “parti lawan parti”, khususnya pertikaian berdekad-dekad dengan DAP — saling menghina, menafikan dan merendahkan. Ini hanyalah bentuk “involution” politik yang tidak membawa apa-apa manfaat kepada negara. Rakyat tidak mahu melihat siapa yang menjerit lebih kuat, tetapi siapa yang lebih berupaya menyelesaikan masalah.

Kita mesti mengingatkan rakyat bahawa nilai MCA bukan terletak pada pergaduhan, tetapi pada pembinaan; bukan dalam menyerang, tetapi dalam menunjukkan keupayaan; bukan membuat janji kosong, tetapi bercakap melalui tindakan dan pencapaian.

Kita mesti memenangi rakyat melalui prestasi, bukan emosi.

12. Anak Muda Bukan Mengada-ngada, Tetapi Realistik, Praktikal Dan Utamakan Upaya

Bagi generasi muda, mereka yang lahir tahun 2000 kini sudah berusia 25 tahun. Mereka bukan generasi yang membesar dengan akhbar, dan tidak boleh lagi digerakkan dengan laungan slogan semata-mata.

Mereka membesar dalam era ledakan maklumat; mereka tidak mahu mendengar retorik; mereka hanya mahu tahu sama ada anda boleh menyelesaikan masalah. Mereka tidak menyokong parti, tetapi prestasi.

MCA mesti bercakap melalui keupayaan dan meyakinkan melalui prestasi. Oleh itu, kita mesti berkomunikasi menggunakan bahasa generasi muda, menyediakan peluang ekonomi baharu, membina ekosistem keusahawanan untuk belia, dan menawan sokongan anak muda melalui kegunaan sebenar, bukan sentimen.

13. Memisahkan Perdana Menteri Dari Menteri Kewangan” Dan Menggugurkan Azam Baki

Daripada PRU Sabah, kita dapat melihat kebangkitan gelombang tempatan, dan parti Semenanjung ditolak. Malah DAP sendiri memberi kata dua bahawa pembaharuan mesti dilaksanakan dalam 6 bulan atau mereka akan keluar Kerajaan Perpaduan.

Saya cadangkan bahawa jika Kerajaan Perpaduan mahu bercakap tentang reformasi, mereka mesti memulakan dengan dua janji reformasi paling penting yang pernah dikemukakan oleh PH — iaitu Perdana Menteri tidak boleh menjawat jawatan Menteri Kewangan, dan menggugurkan Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Kedua-dua reformasi ini boleh dilaksanakan serta-merta tanpa kos, tanpa penangguhan, dan kesannya dapat terus dirasai.

Ahli Parlimen DAP Segambut, Hannah Yeoh pernah dengan tegas menyatakan melalui video semasa PRU lalu bahawa Perdana Menteri tidak boleh menjawat jawatan Menteri Kewangan, dan kenyataannya membantu meraih sokongan besar pengundi. Namun hari ini, PH memilih untuk buat-buat lupa.

Selepas Najib berundur, tiga Perdana Menteri — Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri — semuanya tidak menjawat jawatan Menteri Kewangan, membuktikan sistem pemisahan kuasa ini praktikal dan selaras dengan tadbir urus yang baik.

Azam Baki merupakan Ketua SPRM yang penuh kontroversi, tetapi bukan sahaja tidak digugurkan — malah Kerajaan Perpaduan melanjutkan kontraknya dua kali.

Janji lain PH yang boleh dilaksanakan serta-merta termasuk pengiktirafan UEC, penghapusan tol secara berperingkat, janji mansuh PTPTN dan semakan ke atas semua projek besar yang diberikan kepada kontraktor asing.

14. MCA Mesti Menjadi Parti Yang Menyelesaikan Masalah, Bukan Menunggu Zaman Berubah

Zaman tidak akan menunggu kita; masyarakat tidak akan berhenti bergerak; anak muda tidak akan menunggu parti untuk berubah perlahan-lahan.

Kita mesti melakukan transformasi proaktif ke arah dasar lebih profesional, naratif lebih moden, pendirian lebih jelas, pelaksanaan lebih efisien, pandangan antarabangsa lebih luas, dan penggunaan teknologi lebih menyeluruh.

Akar kita boleh berada di masa lalu, tetapi jalan kita mesti menuju masa depan.

MCA bukannya tiada masa depan — MCA hanya perlu mentakrifkan semula masa depannya.

Kita mesti menjadi parti yang menunjukkan kelebihan masyarakat Cina, parti yang memacu pembangunan negara, yang memimpin transformasi teknologi dan ekonomi, serta yang dipercayai generasi muda, sebagai kuasa penting dalam reformasi negara. Jika kita memanjangkan garisan ufuk, melihat lebih jauh, dan melangkah dengan yakin, MCA bukan lagi “parti lama”, tetapi suatu kekuatan yang memimpin negara ke hadapan. Marilah kita lalui jalan ini bersama-sama.

Saudari perwakilan Wanita sekalian, srikandi tiang negara, marilah kita tempuh bersama perjalanan masa depan MCA!