
Peningkatan trend wanita yang kahwin lewat, kekal membujang ataupun memilih untuk tidak melahirkan anak boleh dikaitkan dengan kegagalan negara mencapai kesaksamaan gender yang sebenar, yang secara langsung menyebabkan kebanyakan wanita berhadapan cabaran mengimbangkan kerjaya dengan tanggungjawab keluarga.
Justeru itu, Wanita MCA menyokong sepenuhnya pendirian Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN 2025 (AWES 2025), bahawa mana-mana pelantikan harus dibuat berdasarkan merit tanpa mengira jantina. Penekanan beliau bahawa prestasi dan kebolehan akan digunakan sebagai kelayakan mencerminkan kepimpinan beliau yang berpandangan jauh dan adil.
Walaupun wujudnya langkah untuk mengiktiraf keupayaan wanita di dalam peluang pekerjaan, kemajuan kerjaya dan peranan di dalam keluarga, namun begitu masih wujud jurang besar dalam penyertaan wanita di peringkat pembuat keputusan, khususnya dalam bidang politik. Kadar wanita sebagai wakil rakyat dan calon pilihan raya masih kurang daripada sasaran 30 peratus perwakilan yang ditetapkan kerajaan dan parti politik. Ini menyerlahkan keperluan usahasama yang lebih untuk membantu kemajuan wanita di peringkat ini.
Bersempena Hari Wanita Antarabangsa tahun ini, dan juga ulang tahun ke-30 penandatangan CEDAW oleh Malaysia, Wanita MCA telah melancarkan petisyen dan menyatakan 10 tuntutan utama untuk menggalakkan kesaksamaan gender serta pembaharuan perundangan, antaranya;
1. Menggubal Akta Kesaksamaan Gender/ Rang Undang-Undang Anti Diskriminasi terhadap Wanita
- Pada tahun 2018, kerajaan mengumumkan niatnya untuk membentangkan RUU Kesaksamaan Gender, yang kemudian dinamakan semula sebagai RUU Anti Diskriminasi terhadap Wanita. Setakat 1 November 2023, RUU ini masih “dalam peringkat kajian”. Oleh itu, Wanita MCA menggesa kerajaan untuk menjelaskan status semasa RUU ini dan kandungannya.
- Menubuhkan rangka kerja perundangan yang komprehensif untuk melarang diskriminasi gender di dalam bidang pendidikan, tempat bekerja, perkhidmatan awam dan juga politik bagi memastikan wanita diberi peluang yang sama rata.
2. Meningkatkan Penyertaan Wanita dalam Politik
- Melaksanakan sistem kuota untuk memastikan perwakilan wanita yang lebih adil dan saksama dalam peringkat kepimpinan dan pembuat keputusan.
- Kuota pelantikan parti politik : Mewajibkan semua parti politik untuk mencadangkan sekurang-kurangnya 30% calon wanita dalam pilihan raya.
- Kuota kerusi Parlimen: Menetapkan kadar peratusan kerusi Parlimen untuk kaum wanita, sepertimana yang diamalkan negara-negara lain.
Ditekankan, kaum wanita memainkan peranan penting dalam semua aspek, termasuk keluarga, masyarakat, perniagaan mahupun agensi kerajaan. Maka, kaum wanita wajar diberi peluang sama rata untuk menyertai peringkat pembuat keputusan dan pembangunan negara. Menerusi kesaksamaan gender yang sebenar, bolehlah Malaysia membuka potensi penuhnya untuk membantu rakyatnya bergerak maju ke arah kemakmuran dan kejayaan bersama.
Tee Hooi Ling
Timbalan Ketua Wanita MCA Kebangsaan
28 Mei 2025