Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun mengulangi pendiriannya bahawa kerajaan tidak wajar membisukan suara rakyat yang mempersoalkan dasar kerajaan.

“Apatah lagi percakapan saya dalam media sosial adalah berdasarkan fakta dipetik dari arus perdana serta kenyataan rasmi menteri dan agensi kerajaan,” katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman pagi tadi.

Beliau hadir untuk diambil keterangannya berhubung sebuah video TikToknya yang mengecam tindakan kerajaan mengumpul maklumat peribadi orang ramai melalui syarikat telekomunikasi (telco), ditemani lebih 20 individu yang bersolidariti bersamanya.

Mereka termasuk Pengerusi Biro Penerangan MCA, Chan Quin Er dan timbalannya, Ivove Low. Turut kelihatan, Ketua Pemuda MCA Selangor, Tan Jie Sen.

Menurut Siew Mun, beliau hanya menyuarakan keresahan rakyat dan tidak pernah berniat menghasut mahupun menggugat ketenteraman awam.

Tegasnya, beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis, namun tidak akan berhenti daripada mempertahankan hak rakyat untuk tahu serta bersuara secara bebas.

Dalam pada itu, Quin Er berkata, solidariti hari ini bukan sahaja untuk Siew Mun, tetapi juga untuk mempertahankan kebebasan bersuara setiap rakyat.

Tegasnya, kebebasan itu bukanlah pemberian daripada kerajaan tetapi jelas termaktub dalam Artikel 10 1(A) Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan Madani tidak perlu berasa takut serta bertindak menutup suara rakyat sekiranya ia berpegang kepada prinsip demokrasi, yang menjadi asas pembinaan negara ini,” sambungnya.

Peguam Siew Mun, Kamaruddin Ahmad pula berkata, anak guamnya itu hanya menggunakan haknya untuk bersuara secara sah, dan merayu kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia supaya menarik balik laporan polis yang dibuat pihaknya terhadap Siew Mun.

Penerangan MCA
18 Jun 2025