Negara digemparkan dengan serbuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini ke atas 20 rumah amal di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan dan telah menyelamatkan seramai 402 kanak-kanak berumur antara satu hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.

Pertama sekali, setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan PDRM, terutamanya bahagian risikan dan orang awam yang turut memainkan peranan sehingga berjaya membongkar kes mengejutkan ini menerusi Op Global.

Memetik kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mangsa terdiri daripada 201 kanak-kanak dan remaja lelaki serta 201 perempuan, berjaya diselamatkan.

Katanya lagi, hasil siasatan mendapati kegiatan yang dilakukan di 20 rumah amal tersebut adalah mangsa diajar dan dididik cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak lain.

Wanita MCA cukup sedih, marah dan terkejut dengan berita ini. Justeru, kami menggesa pihak berwajib melakukan sesuatu dengan segera bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

1. Meningkatkan dan menambahbaik pemantauan di rumah-rumah kebajikan yang terdapat di Malaysia. Jika perlu, menubuhkan pasukan petugas khas pemantau bagi memastikan semua rumah kebajikan mematuhi peraturan dan tidak menyalahi undang-undang.

2. Menjalankan pemeriksaan mengejut secara kerap.

3. Mengenakan hukuman tegas terhadap mana-mana pengusaha rumah kebajikan yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan, serta menggesa agensi kerajaan mengkaji semula undang-undang sedia ada agar seiring dengan peredaran semasa.

4. Memastikan kanak-kanak di bawah penjagaan rumah kebajikan menerima pendidikan secara formal, sama ada melalui sekolah kerajaan ataupun program pendidikan di rumah mengikut silibus yang ditetapkan kerajaan.

5. Pemeriksaan kesihatan juga harus disediakan bagi memastikan kesihatan penghuni rumah kebajikan tidak diabaikan.

Wanita MCA juga ingin mengingatkan bahawa sesiapa sahaja yang didapati mendera, mengabai atau mengeksploitasi kanak-kanak harus didakwa di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, tanpa sebarang kompromi.

Diharapkan tindakan segera dan tegas dikenakan terhadap pihak tidak berhati perut ini, seterusnya membuktikan komitmen kerajaan untuk menjaga kebajikan kanak-kanak dan menghantar mesej kepada semua bahawa mana-mana bentuk penganiayaan kanak-kanak tidak boleh diterima sama sekali.

Datuk Wong You Fong
Ketua Wanita MCA Kebangsaan
12 September 2024

- Penerangan MCA