Selain berdepan masalah kekurangan peniaga di beribu-ribu unit MyKiosk di seluruh negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga perlu menjawab dakwaan terdapat pemborosan dana dalam projek yang diperkenalkannya itu.

KPKT telah membina sebanyak 7,243 unit MyKiosk semenjak Julai 2023 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM150 juta. Daripada itu, 4,000 unit dibina pada tahun lepas dengan jumlah kos RM100 juta atau RM25,000 seunit.

Walhal platform beli belah di media sosial serta pengakuan dari pengeluar tempatan menunjukkan gerai dengan model dan spesifikasi yang lebih baik, termasuk dari segi saiz dan kelengkapannya, hanya berharga kurang dari RM15,000 seunit.

Sehubungan itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming perlu mendedahkan identiti pembekal sebenar serta memperincikan proses perolehan, tapisan dan kelulusan bagi menjustifikasikan kosnya, sekali gus membuktikan bahawa tiada penyelewengan berlaku.

Kegagalan Kor Ming berbuat demikian hanya akan memburukkan lagi persepsi masyarakat bahawa terdapat penyeleweng yang berselindung di sebalik inisiatif yang dikatakan mahu membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) itu.

Ivone Low 
𝐊𝐞𝐭𝐮𝐚 𝐁𝐞𝐥𝐢𝐚𝐰𝐚𝐧𝐢𝐬 𝐌𝐂𝐀
𝟏𝟒 𝐌𝐞𝐢 2025