Isu balu dan waris anggota polis yang pernah terlibat dalam operasi mempertahankan kedaulatan negara daripada penceroboh Sulu yang kini berdepan dengan pengusiran di Semporna, Sabah memerlukan perhatian dan tindakan segera daripada pihak kerajaan. Sesungguhnya apa yang berlaku ini amat menyentuh hati orang ramai termasuk Wanita MCA Sabah.

Justeru, kerajaan pusat, negeri atau pihak berkuasa tempatan perlu melakukan sesi rundingan serta perbincangan dengan balu dan waris bagi mencari jalan penyelesaian terbaik sekaligus mengurangkan penderitaan yang mereka tanggung setelah kehilangan ketua keluarga.

Wanita MCA Sabah juga mencadangkan agar pihak berkaitan dapat meneliti keadaan sosio-ekonomi keluarga mereka selepas kematian insan yang bergelar suami dan ayah. Mereka pastinya terkesan dengan pemergiannya, dan lalui 11 tahun ini dengan penuh kesukaran. Adalah tidak adil jika perobohan rumah ini dilakukan, tanpa disusuli dengan bantuan dan alternatif lain.

Bagi menghargai jasa dan pengorbanan wira-wira negara seperti Sarjan Abd Azis Sarikon yang meninggal dunia pada 2013 ketika mempertahankan tanah air daripada pencerobohan tentera Sulu, kerajaan seharusnya menyediakan penempatan yang sesuai atau memberikan bantuan lain yang dapat mengurangkan beban keluarganya.

Dalam masa sama, Wanita MCA Sabah berharap kerajaan dapat menangani isu ini dengan lebih sensitif dan memberi sokongan yang diperlukan kepada balu dan keluarga wira negara ini. Ungkapan mengenang jasa dan pengorbanan wira-wira negara ini jangan hanya meniti dibibir semata-mata, tetapi buktikanlah walaupun mereka telah tiada.

Datuk Dr. Pamela Yong
Ketua Wanita MCA Sabah
19 Disember 2024

- PENERANGAN MCA