Sikap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam menggunakan bahasa kesat semasa memberi respons kepada isu MyKiosk, serta memutar belit isu yang mudah ini sehingga melempar serangan peribadi adalah tidak selari dengan sikap yang patut diamalkan sebagai seorang menteri.


Dalam politik, sudah tentu adanya perbezaan pendirian dan pendapat, namun dengan nilai saling hormat-menghormati, semua isu boleh dibincang dan diselesaikan secara aman dan damai. Tiada keperluan melontar fitnah dan dakwaan tidak berasas. Apatah lagi dari seorang pemimpin politik bertaraf menteri yang sepatutnya bersikap rasional dan matang, serta mengamalkan ketelusan dalam tadbir urusnya.

Inisiatif MyKiosk telah membelanjakan puluhan juta wang rakyat. Malah, sasaran inisiatif tersebut adalah golongan penjaja kecil dan yang berpendapatan rendah. Maka, apa salahnya MCA membangkitkan soalan berkenaan kos pembinaan, proses pembidaan dan keberkesanan pelaksanaanya. Ini selari dengan prinsip semak dan imbang kerajaan yang wujud di dalam sistem demokrasi negara, apatah lagi kerana membabitkan kepentingan rakyat. MCA bukan sengaja “menimbulkan masalah” seperti yang didakwa.

Oleh itu, kegagalan Nga Kor Ming menjawab soalan yang dibangkitkan secara matang, dan tindakan beliau dalam mengancam mereka yang membangkitkan isu ini adalah tidak wajar, tidak rasional dan tidak sejajar dengan nilai-nilai yang ditegakkan oleh kerajaan Madani.

Ditekankan, mana-mana dasar yang berkait rapat dengan kehidupan rakyat dan ekonomi negara haruslah tertakluk kepada semak dan imbang, dan akauntabiliti yang ketat. Nga Kor Ming sebagai menteri bertanggungjawab tidak sepatutnya gentar berdepan isu ini, dan harus menjawab dengan menggunakan fakta dan data, bukannya dengan ancaman serta fitnah.

Malah, sikap Nga Kor Ming dilihat seakan beliau masih berada di dalam pembangkang. Ini bukanlah contoh yang baik kepada anak-anak muda, dan juga memberi gambaran salah, seolah-olah kebebasan bersuara tidak wujud dalam negara kita.

Apa salahnya untuk MCA meluahkan kebimbangan rakyat? Apa salahnya kami melaksanakan semak dan imbang? Ini satu perkara biasa dalam prinsip demokrasi. Dalam amalan politik matang, seseorang pemimpin negara akan terbuka kepada kritikan konstruktif supaya dapat menambahbaik perkhidmatannya kepada rakyat dan negara.

MCA bertanggungjawab untuk bersuara bagi pihak rakyat dalam isu-isu berkenaan kepentingan mereka, dan kami telah membuat demikian secara rasional dan praktikal.

Matlamat Malaysia Madani hanya boleh dicapai jika kerajaan menghormati hak rakyat dan prinsip demokrasi, serta ikhlas menjawab persoalan yang dibangkitkan rakyat mengenai dasar-dasar kerajaan.

𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐃𝐫. Monna Ong
𝐏𝐞𝐧𝐠𝐞𝐫𝐮𝐬𝐢 𝐉𝐚𝐰𝐚𝐭𝐚𝐧𝐤𝐮𝐚𝐬𝐚 𝐏𝐞𝐧𝐚𝐬𝐢𝐡𝐚𝐭 𝐃𝐚𝐬𝐚𝐫 𝐀𝐰𝐚𝐦 𝐝𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐢𝐝𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐊𝐨𝐬 𝐒𝐚𝐫𝐚 𝐇𝐢𝐝𝐮𝐩 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐌𝐂𝐀
𝟐2 𝐌𝐞𝐢 𝟐𝟎𝟐𝟓