Kerajaan Madani sedang menghadapi defisit kepercayaan yang serius di sebalik krisis kehakiman yang semakin meruncing apabila membiarkan dua jawatan tertinggi kehakiman kosong susulan persaraan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, dan Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim, pada awal Julai ini.

Keengganan pihak kerajaan memberikan lanjutan mahupun memfasilitasikan pelantikan baharu, diburukkan dengan tiadanya penjelasan rasmi, seolah-olah mengiyakan pendedahan Tengku Maimun pada awal tahun ini bahawa terdapat campur tangan politik dalam sistem kehakiman.

Sedia maklum, bentuk campur tangan seperti ini hanya boleh datang dari pihak pemegang kuasa eksekutif. Persoalannya, kenapa kerajaan begitu takut dengan sistem kehakiman yang bebas? Apakah yang cuba disembunyikan, dan siapa pula yang cuba dilindungi oleh kerajaan?

Lebih parah, minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara yang bocor menunjukkan, antara nama-nama calon termasuk seorang yang masih kekurangan kekananan dan terpalit pula skandal ‘menyorok titah adendum Najib’.

Apa yang mengecewakan, kerajaan dilihat tidak memberikan sebarang reaksi atau penjelasan, mahupun menjalankan siasatan, sebaliknya pihak polis pula mengeluarkan notis larangan kepada orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat tersebut.

Sistem kehakiman mestilah bebas dari segala bentuk campur tangan politik, itulah harapan rakyat dan itu jugalah reformasi institusi yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan sebelum berkuasa, tetapi hari ini, sistem kehakiman seolah-olah dijadikan alat politik untuk memanfaatkan mereka sendiri yang sedang berkuasa.

Perarakan Badan Peguam Malaysia ke Pejabat Perdana Menteri bukan sekadar untuk menyerahkan memorandum, tetapi mahu menuntut keadilan dan ketelusan, dan ini sepatutnya menjadi panggilan terakhir untuk kerajaan bertindak waras dengan segera menegakkan kembali sistem kehakiman negara sebagai institusi yang berwibawa dan dihormati.

Ivone Low
Ketua Beliawanis MCA
14 Julai 2025