Pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Wanita MCA hari ini, Ketua Wanita MCA Kebangsaan, Datuk Wong You Fong telah menyampaikan ucapan dasar yang menekankan kesinambungan legasi 50 tahun serta hala tuju masa depan sayap parti itu.

You Fong menyifatkan ulang tahun ke-50 Wanita MCA ini sebagai detik penting untuk menghargai pencapaian terdahulu, dalam masa yang sama membina masa depan lebih progresif.

Bertemakan "Mekar 50 Tahun: Menyambung Legasi" dan slogan "Wanita Perkasa, Melangkah ke Hadapan", ia menggambarkan keberanian, profesionalisme dan hala tuju moden Wanita MCA.

Tambahnya lagi, dalam tempoh 10 tahun akan datang, Wanita MCA akan memacu tiga misi utama iaitu membina ekosistem bakat wanita, memperkukuh penyelidikan dasar dan membentuk imej moden organisasi wanita.

"Ia akan turut disokong dengan lima pelan tindakan termasuk melatih bakat wanita, memperkasa Pusat Bantuan Undang-undang Wanita (LAWA), melaksana program mentor belia wanita, meningkatkan pencapaian media digital dan mencapai sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam politik dan kepimpinan," katanya.

Beliau turut mengumumkan perkembangan positif keahlian wanita muda bawah 35 tahun yang meningkat sebanyak 145% dalam tempoh 3 tahun dengan menyaksikan peningkatan ketara dari Johor, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

"Ini membuktikan wanita muda semakin yakin terhadap MCA dan mempercayai hala tuju Wanita MCA", katanya.

Sepanjang tahun ini, Wanita MCA memainkan peranan dengan mengangkat isu nasional termasuk kempen tandatangan Konvensyen Penghapusan Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), sokongan terhadap pindaan perlembagaan 2024 mengenai hak kewarganegaraan anak di luar negara, serta sokongan melaksanakan kembali cukai barangan dan perkhidmatan (GST)

"Selain itu, Wanita MCA turut menyentuh mengenai polisi menyokong wanita bekerja, reformasi terhadap Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), cadangan pusat sehenti bantuan undang-undang dan psikologi bagi menangani keganasan rumah tangga serta isu-isu nasional seperti kos sara hidup, ketelusan kemasukan pelajar ke universiti awam, keselamatan siber, penyebaran maklumat palsu dan pengawasan digital," katanya.

Sebagai penutup kepada ucapannya, You Fong menegaskan bahawa Wanita MCA telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya umum atau negeri pada bila-bila masa.

“Kita bersedia menjadi jentera utama parti, bersedia menyediakan 30% calon wanita yang berkaliber, dan bersedia meningkatkan sokongan pengundi wanita, keluarga dan belia. Wanita MCA akan terus menyumbang kepada negara yang lebih moden, saksama dan makmur," katanya.

Penerangan MCA
6 Disember 2025