
Beliawanis dengan seikhlas hati menjemput Pemuda DAP untuk bersama-sama membuat laporan kepada Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya mengenai isu MyKiosk bagi memastikan kepentingan rakyat terus dijaga.
Memandangkan projek di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ini terpalit dengan kontroversi, dan ia membabitkan wang rakyat, maka rakyat berhak tahu akan proses bidaan projek ini, sama ada ia tender terbuka atau tidak, kos sebenar, pemilihan lokasi dan sebagainya.
Sehingga hari ini, Menteri berkenaan dari parti DAP masih gagal tampil memberi penjelasan. Para pemimpin DAP juga dilihat mempertahankan projek ini dengan mendakwa kononnya ramai peniaga tidak sabar-sabar menyewa MyKiosk. Malah, ada juga yang berkata pemimpin MCA turut terpalit dalam kontroversi ini.
Oleh itu, sebagai parti yang mengutamakan hak dan kepentingan rakyat, kami berharap Pemuda DAP akan bersama-sama dengan kami dalam isu ini untuk mencari kebenaran.
Diharapkan dengan tekanan daripada Beliawanis dan Pemuda DAP, pihak SPRM boleh bertindak segera untuk menyiasat sama ada wujudnya unsur rasuah dan salah guna kuasa di sebalik projek MyKiosk ini, dan hasil siasatan dilapor secara telus demi mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan.
Ivone Low
Ketua Beliawanis MCA
18 Mei 2025