
Inisiatif MyKiosk 2.0 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membangkitkan kontroversi khususnya berkenaan soal ketelusan, kebertanggungjawaban dan kegunaan dana awam. Program ini bertujuan membantu golongan B40 dan peniaga kecil dengan menyediakan persekitaran yang selamat, diseragamkan, pada kos mampu. Ia berniat membantu 'peniaga tepi jalan' beralih menjadi peniaga mikro yang sah dan stabil.
Namun begitu, alasan KPKT bahawa kadar sewa serendah RM300 dengan pengecualian selama 6 bulan tidak menjustifikasikan kos pembinaan yang disifatkan terlalu tinggi. Ditekankan, kadar sewa dan amalan integriti semasa proses pelaksanaan adalah dua perkara berbeza. Alasan membantu peniaga kecil tidak bermaksud membelanjakan wang rakyat secara boros. Sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah memperbetulkan kesilapan ini, rakyat akan hilang kepercayaan terhadap inisiatif ini.
Pendedahan bahawa kos MyKiosk 2.0 mencecah RM25,000 seunit berbanding anggaran kos pasaran RM12,800 telah membangkitkan persoalan berkenaan proses pemberian kontrak. Rakyat berhak tahu bagaimana wang mereka dibelanjakan dan jika ia benar-benar memanfaatkan golongan yang disasarkan.
Memahami denyut nadi rakyat, kerajaan harus mengambil kira beban ekonomi yang memberi kesan kepada golongan B40. Menurut data kerajaan, pendapatan bulanan secara purata B40 di bawah RM4,850. Majoriti keluarga B40 bergantung kepada kerja-kerja tidak rasmi, seperti menjaja atau menjalankan perniagaan. Penularan wabak COVID-19 telah menyebabkan kadar pengangguran dan kos sara hidup meningkat. Ini menyebabkan B40 lebih terdedah kepada risiko masalah kewangan. Inisiatif MyKiosk ini sepatutnya membantu mereka mengharungi cabaran ini dengan membolehkan mereka berniaga secara sah dan menjana pendapatan yang stabil tanpa dikacau pihak penguatkuasa.
Malangnya, program ini telah tersasar daripada matlamat asalnya. Alasan kerajaan kononya peniaga tidak berniaga sepenuh masa juga kurang memuaskan. Soalannya, adakah inisiatif ini membawa manfaat seperti taraf hidup yang lebih baik, mewujudkan pekerjaan, dan menghidupkan ekonomi di kawasan setempat?
Oleh itu, kerajaan disaran melantik badan audit bebas untuk menyiasat inisiatif MyKiosk ini, dan siasatan harus dipantau Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Laporan siasatan juga harus didedahkan demi memastikan ketelusan dan keyakinan rakyat.
Tambahan lagi, kerajaan juga harus menubuhkan portal maklumat perolehan berpusat untuk menyediakan akses masa nyata kepada maklumat dan kos setiap kiosk, kontraktor yang dilantik, tempat kiosk dibina, dan penggunaan sebenar. Langkah ini selari dengan pentadbiran urus baik dan hak rakyat untuk mengetahui cara wang mereka diguna.
Demi memastikan kecekapan inisiatif ini, kerajaan harus mengkaji reka bentuk kiosk ini supaya lebih mampu milik dan mengikut kehendak peniaga. Kerajaan juga harus membuka proses ini kepada pihak awam dengan menjemput PKS tempatan, universiti dan institusi arkitek untuk menyumbang reka bentuk yang lebih inovatif dan praktikal.
Sebelum proses pembinaan, kerajaan tempatan juga harus menjalankan kajian permintaan pengguna dan potensi perniagaan di setiap lokasi. Kiosk ini harus dibina di mana wujudnya potensi ekonomi dan tidak dibuat bersasarkan kemahuan politik.
Selain infrastruktur, kerajaan juga harus menyediakan sokongan holistik kepada peniaga yang menggunakan kiosk, termasuk latihan sistem pembayaran digital, pinjaman mikro, serta program pembangunan perniagaan. Ini bagi memastikan kiosk ini dimanfaat sepenuhnya dan mencapai sasaran untuk memperkasakan kuasa ekonomi.
Inisiatif MyKiosk ini masih mampu memberi manfaat kepada rakyat. Namun, ia harus diperbaiki dan prosesnya harus dijamin telus. Sesuatu dasar yang berniat murni tetapi tidak dilaksanakan dengan baik akan menjejaskan keyakinan rakyat dan gagal memanfaatkan golongan yang disasarkan.
Rakyat memerlukan projek yang praktikal dan mampu membawa perubahan kepada kehidupan mereka. Mereka memerlukan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dalam memelihara kepentingan mereka. Isu ini bukan sahaja mengenai membetulkan kesilapan, tetapi membuktikan komitmen kerajaan terhadap tatakelola baik.
Dato’ Dr. Monna Ong
Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Dasar Awam dan Penyelidikan Kos Sara Hidup Rakyat MCA
18 Mei 2025