Sejak beberapa tahun ini, pelbagai pihak telah meluahkan kebimbangan berkenaan kualiti pendidikan di Malaysia yang dilihat semakin merosot, khususnya dalam media sosial dimana para ibu bapa dan guru telah menyuarakan kekecewaan mereka. Antara isu yang sering dibangkitkan adalah cabaran yang dihadapi golongan remaja untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris, serta penggunaan singkatan yang semakin meluas dalam Bahasa Melayu. Ini secara langsung memberi kesan kepada bidang pendidikan lain seperti STEM dimana pemahaman dan kemahiran percakapan yang jelas penting untuk memupuk inovasi dan kreativiti dalam penyelesaian masalah.

Justeru itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa mengutamakan usaha peningkatan kualiti pendidikan negara kita bagi menjamin kebolehdayasaingan negara di dalam pasaran global pada masa hadapan. KPM perlu memberi fokus pada peningkatan standard kualiti pendidikan, pembentukan sahsiah murid dan akses pendidikan yang berkualiti untuk semua, bukan sekadar fokus pada pemakaian lencana Jalur Gemilang atau penguatkuasaan warna kasut sekolah semata-mata.

Menurut Inisiatif Pengukuran Hak Asasi Manusia (HRMI), kerajaan Malaysia ketinggalan dalam menjamin hak pendidikan, dan kini berada di tangga ketiga terendah di rantau Asean dengan skor keseluruhan 67.5%, hanya mengatasi negara Brunei dan Laos. Lebih membimbangkan, HRMI turut melaporkan bahawa skor ini kekal statik dalam sedekad lalu, secara langsung menyerlahkan kekurangan kemajuan dalam bidang pendidikan. Jelas dilihat, kerajaan Malaysia telah gagal memanfaatkan potensi sepenuhnya sistem pendidikan kita berbanding dengan negara-negara lain yang mempunyai tahap ekonomi yang sama.  

Isu ini wajar diberi perhatian kerana pendidikan merupakan hak asas, bukannya satu keistimewaan. Kegagalan memperjuangkan hak ini akan menjejaskan masa depan rakyat Malaysia dan mengehadkan pertumbuhan negara, seterusnya keberdayasaingan kita di peringkat global. Oleh itu, sistem pendidikan negara tidak wajar diabaikan. Peralihan ke sistem berorientasikan pendidikan yang memberi penekanan kepada hafalan dan bukannya pemahaman, membuktikan kewujudan masalah sistemik dalam rangka kerja pendidikan negara.

Masalah sistemik ini harus ditangani dengan segera supaya Malaysia dapat memanfaatkan sepenuhnya potensi kita dan menjaminkan kedayasaingannya dalam ekonomi global. Setiap kanak-kanak berhak menerima pendidikan berkualiti tanpa mengira kaum dan latar belakang sosial, khususnya golongan terpinggir seperti orang kurang upaya, berpendapatan rendah dan luar bandar. Mana-mana usaha menafikan hak akses pendidikan kepada mereka akan mengekang potensi, mendalamkan lagi ketidaksamaan sosio ekonomi dan menjejaskan kemajuan negara.

Oleh yang demikian, kerajaan harus memastikan hak ini dapat disampaikan kepada semua lapisan masyarakat demi membina sebuah masa depan yang lebih saksama untuk negara kita.

Felicia Wong Yin Ting
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan MCA
19 Jun 2025