Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ternyata membawa resmi ayam, bertelur sebiji riuh sekampung apabila mencanangkan penurunan harga lebih 10%  20 barangan segar dari Jun hingga Julai lalu. 

Memetik laporan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), beliau menyenaraikan beberapa barangan yang turun harga seperti timun, kacang buncis, cili padi, kubis, anggur merah dan lada benggala.

Berapa sangat yang boleh dijimatkan daripada penurunan harga barangan yang tidak menghadapi permintaan mendesak dan tidak dibeli dalam kuantiti yang banyak itu?

Bagaimana pula dengan kenaikan harga 238 barangan lain dalam tempoh yang sama?Tidakkah impak kenaikan harganya jauh lebih besar berbanding 20 barangan yang turun harga tadi?

Rafizi dilihat masih tidak menyedari majoriti rakyat menghadapi tekanan hidup akibat kenaikan harga barangan sehingga membuat kenyataan “kalau sesiapa mengadu, saya minta hantar bukti supaya saya boleh bagi kepada KPDN untuk diambil tindakan” yang sangat tidak bertanggungjawab dan kebudak-budakan.

Beliau sebagai 'raja formula' perlu membuat refleksi diri bahawa 'formula RM50 penuh 1 troli' yang digembar-gemburkan semenjak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 masih belum, dan semakin jauh dari berjaya.

Ivone Low
Ketua Beliawanis MCA
19 November 2024

- Penerangan MCA