Kita dikejutkan dengan laporan media bahawa hampir 500 murid dan pelajar dari Thailand merentasi Sungai Golok setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia.
Wanita MCA amat bimbang mengenai perkara ini kerana ia melibatkan isu keselamatan dan pendidikan kanak-kanak. Wanita MCA berharap ibu bapa dapat memainkan peranan dalam menunaikan tanggungjawab terhadap anak-anak mereka, bukan sahaja dalam memastikan anak-anak ini mendapat pendidikan yang baik melalui saluran yang betul dan sah malah turut menjamin keselamatan mereka.
Berdasarkan laporan media, para pelajar ini merupakan warganegara Malaysia dan Thailand. Isu keselamatan rentas sempadan ini sudah lama berlaku dan masih belum dapat ditangani dengan berkesan, sekaligus mendedahkan kehidupan mereka pada risiko dan kesulitan. Kejadian ini bukan sahaja melibatkan isu perundangan dan pengurusan sempadan tetapi juga keselamatan dan hak akses pendidikan kanak-kanak.
Laporan tersebut turut memberitahu bahawa para pelajar ini memilih laluan tersebut kerana :
* Faktor keluarga : mereka tinggal bersama ibu bapa warganegara Malaysia yang bekerja di Thailand atau bersama ahli keluarga warganegara Thailand.
* Had pengurusan sempadan: waktu operasi Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang yang tidak sama dengan waktu sekolah
* Kesukaran pengangkutan dan geografi : jarak untuk ke ICQS agak jauh dan mengambil masa yang lama untuk ke sana, sekaligus merumitkan perjalanan para pelajar dan ibu bapa
Justeru itu, Wanita MCA menggesa agensi-agensi kerajaan berkaitan untuk segera mengambil langkah berikut untuk membantu golongan ini:
1. Kerjasama antara Kementerian Pendidikan (KPM) harus bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) : Selain mengesahkan dokumen pengenalan diri 500 pelajar ini, mereka juga perlu dipastikan pergi dan balik dari sekolah menggunakan laluan yang sah dan selamat dengan menyelaraskan waktu operasi ICQS atau menyediakan laluan khas kepada mereka bagi mengelakkan kesesakan atau masa menunggu lebih lama.
2. Menambah baik akses pendidikan rentas sempadan: Mengkaji cadangan menubuhkan sekolah di kawasan sempadan Malaysia dan Thailand untuk memberi kemudahan akses kepada pelajar-pelajar tersebut, di samping mengukuhkan pengurusan keperluan masyarakat di kawasan sempadan.
3. Mempercepatkan dan memudahkan proses pelepasan kastam: Menyediakan dokumen atau pas elektronik khas untuk meringankan beban penduduk yang perlu merentasi sempadan negara.
4. Menjaga kepentingan dan hak pelajar : Hak akses pendidikan pelajar Malaysia tidak boleh dinafikan, tidak kira di mana mereka berada. Oleh itu, kerajaan harus memberi tumpuan untuk melindungi hak kanak-kanak ini, dan bukannya menghukum mereka.
Wanita MCA turut menyeru kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk melibatkan diri secara aktif dengan kerajaan Pusat dan Thailand bagi menyelesaikan masalah ini dan menyediakan penyelesaian jangka panjang untuk pelajar yang tinggal di sempadan.
Kanak-kanak ini tidak bersalah. Akses mereka kepada pendidikan dan pembangunan peribadi tidak seharusnya terbantut dek kerana isu rentas sempadan ini. Wanita MCA akan terus memantau kes ini dan akan menyokong apa juga usaha untuk menambah baik dasar demi memastikan hak dan kepentingan pelajar ini tidak terjejas.
Datuk Wong You Fong
Ketua Wanita MCA
22 November 2024
- PENERANGAN MCA