Mantan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa digesa membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tawaran RM50 juta daripada seseorang individu untuk menghapuskan dasar generasi penamat (GEG) atau mengharamkan penjualan tembakau dan vape kepada generasi muda, sepertimana yang diberitahu oleh bekas setiausaha politiknya, Sivamalar Genapathy.

Ini selaras dengan Perkara 25 (1) dan (2) dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang menggariskan bahawa mana-mana percubaan rasuah hendaklah dilaporkan, dan kegagalan membuat demikian disifatkan sebagai satu kesalahan dan boleh didenda sehingga RM100,000, atau dipenjarakan sehingga 10 tahun. 

Kami memuji Sivamalar yang baharu sahaja membuat laporan kepada SPRM berhubung isu ini selepas teruk dikritik netizen. Biar lambat, asalkan ada. Marilah kita memberi ruang secukupnya kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan mereka secara telus dan menyeluruh.

Justeru, Zaliha juga perlu membuat perkara sama, lapor SPRM, walaupun dikatakan tidak berjumpa 'pemberi rasuah' berkenaan, tetapi beliau sudah dimaklumkan berhubung 'tawaran rasuah' tersebut dan ia berada dalam pengetahuan Zaliha selaku menteri pada ketika itu.

Sepatutnya pada hari kejadian lagi laporan dibuat seterusnya memberi mesej kepada rakyat bahawa kerajaan Madani bersungguh melawan rasuah.

Pada 18 Disember lalu, Sivamalar yang juga merupakan Timbalan Setiausaha Agung PKR ada menyiarkan hantaran di Facebook beliau yang antara lain berbunyi;

"Di Kementerian Kesihatan, prinsip itu sudah lama terpamer. Apabila berdepan dengan syarikat tembakau dan kepentingan korporat besar, beliau (Zaliha) tidak berganjak. Pernah ditawarkan RM50 juta untuk menggugurkan dasar Generational End Game. Beliau menolak tanpa ragu dan meminta mereka keluar. Saya berada di situ. Saya menyaksikannya sendiri.

Sumber: https://www.facebook.com/share/p/1FfgMMhfjM/

Ivone Low
Ketua Beliawanis MCA
23.12.2025