
Wanita MCA merakamkan rasa simpati yang mendalam terhadap seorang wanita yang dipercayai menghadapi tekanan emosi sehingga hampir mengambil tindakan yang membahayakan diri untuk terjun di Sungai Gombak, Kuala Lumpur sepertimana tular di media sosial semalam.
Kami juga merakamkan penghargaan kepada anggota PDRM dan pihak terlibat yang berjaya menenangkan mangsa sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.
Masalah kesihatan mental bukan isu remeh yang boleh dipandang ringan atau diabaikan. Tekanan hidup, bebanan emosi dan kebuntuan perasaan boleh menimpa sesiapa sahaja.
Oleh kerana itu, masyarakat perlu lebih peka, berhati-hati dalam meninggalkan komen di media sosial dan tidak mengambil mudah terhadap mereka yang sedang melalui fasa sukar kehidupan. Setiap individu memiliki tahap ketahanan mental yang berbeza, dan tidak semua mampu menghadapinya seorang diri tanpa sistem sokongan (support system) yang baik.
Bagi pihak Wanita MCA, kami sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada golongan wanita yang mengalami masalah dan memerlukan sokongan termasuklah dari segi psikologi, rujukan bantuan serta kerjasama dengan pihak berkuasa dan pertubuhan berkaitan.
Dalam masa yang sama, Wanita MCA menyeru agar orang ramai menghargai nyawa dan tidak mengambil tindakan melulu apabila menghadapi tekanan. Sebaiknya, kongsikan masalah yang dihadapi dengan keluarga, rakan atau pihak yang boleh dipercayai agar kita tidak merasa terasing. Jangan malu untuk mencari bantuan profesional seperti kaunselor atau pegawai kesihatan, kerana hanya melalui penilaian pakar kita dapat mengetahui tahap sebenar tekanan yang sedang dihadapi.
Sebagai masyarakat yang prihatin, kita juga perlu peka terhadap tanda-tanda tekanan emosi yang ada pada orang sekeliling. Sekiranya menghadapi tekanan, jangan memendam rasa, bantuan sentiasa ada dan pilihlah saluran yang betul untuk menanganinya.
Wanita MCA komited untuk menyokong usaha meningkatkan kesedaran kesihatan mental serta memastikan golongan yang terjejas tidak tersisih daripada perhatian masyarakat.
Datuk Wong You Fong
Ketua Wanita MCA Kebangsaan
29 Disember 2025