Skip to main content
Home
What's New
National Building
National Chairman
Women Activities
Women Today
WEDC
Responding to the call of times
Wanita Interactive
Download Zone
Website Links
  
Sitemap | Bookmark |
Go Search

Parliment Speech 

 
 
 

Tuan yang dipertua,

Saya memohon bangun untuk menyokong usul Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa membuka Penggal Keempat Parlimen yang Kesebelas. Terima kasih kerana saya telah diberi kesempatan dan penghormatan untuk menjadi penyokong kepada usul ini. 

Tuan yang dipertua, usul saya adalah seperti berikut:

Tahun ini negara kita akan meraikan kemerdekaannya yang ke-50. Selama 50 tahun ini, pelbagai cabaran dan rintangan telah kita harungi demi memelihara perpaduan di Negara kecil yang tercinta ini. Usaha kita sentiasa dicabar tetapi yang penting sekali, kita kekalkan keharmonian dan kemakmuran.

Keharmonian dan kemakmuran dapat kita kekalkan kerana kita mempunyai suatu dokumen yang paling mustahak - suatu simbol atau asas perjanjian dan kepatuhan kita semua iaitu Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Suatu Perlembagaan yang kita junjungi dan patuhi sebagai undang-undang tertinggi di Negara ini. Ia juga merupakan rangka jiwa Kebangsaan yang dibentuk berasaskan 3 prinsip utama iaitu: masyarakat majmuk, kesatuan dari pelbagai dan keadilan untuk semua.

Perlembagaan Persekutuan Malaysia adalah teragung dan adil

Bagi majoriti masyarakat, keadilan adalah suatu konsep yang unggul. Ia merupakan suatu piawaian pengukuran terhadap seseorang atau sesuatu perkara secara moral dan ideal. Keadilan dianggap utama kerana ia dapat memurnikan institusi-institusi sosial, bagaikan peranan konsep kebenaran dalam sesuatu sistem pemikiran”.

Walau bagaimanapun, ada pula yang berpendapat bahawa, “Keadilan belum pernah dan tidak boleh dicapai”.

Ini bermaksud, keadilan mungkin berpunca dari keharmonian, arahan ketuhanan, undang-undang tabii, undang-undang pemerintah ataupun suatu mahzab yang bercabang dari suatu piawaian akhlak yang utama.

Oleh itu, apakah asas peranan Perlembagaan Persekutuan kita? Adakah kita menuntut keadilan mutlak dan memberi setiap rakyat kita segala-gala yang menjadi haknya? Kalaulah begitu, ia bermaksud, kita perlu memaksimumkan kebajikan untuk semua. Persoalannya ialah, adakah kita berazam untuk membentuk sebuah Negara kebajikan?

Ataupun di sebaliknya, kita lebih yakin, dengan konsep keadilan balasan, yang berasaskan pemakaian prosedur undang-undang yang sah serta suatu set hukuman, digunakan secara bijaksana supaya keadilan dapat diberi kepada seseorang yang menuntutnya. Dalam kata yang lain, keadilan dilaksanakan secara berpatutan.

Tuan yang dipertua, kita semua sedia maklum bahawa

Semasa kami berjuang untuk kemerdekaan, parti Barisan Nasional telahpun memilih ideologi politik yang berasaskan demokrasi sebagai cara hidup seluruh rakyat kita dan penentu masa depan Negara. Pada masa yang sama, Perlembagaan Persekutuan juga ditetapkan sebagai prinsip dan rukun yang menentukan cara dan peraturan bagi kita semua, iaitu rakyatnya hidup bersama. Institusi-institusi yang mematuhi prinsip dan rukun ini adalah tertakluk kepada pentadbiran Negara supaya keamanan dan keharmonian dapat terus dipelihara.

Biasanya, ketidakadilan dikatakan berlaku jika keunggulan tidak dipenuhi.

Apabila keunggulan tidak dapat disempurnakan, isu ketidakadilan akan berbangkit dan rakyat merasa mereka telah hilang kawalan ke atas kerajaannya iaitu apa yang disebut “disempowerment” (dengan izin). Keunggulan keadilan mungkin boleh dipraktikkan oleh institusi-institusi, tetapi keraguan akan timbul dari segi legitimasi, prosidur, perkanunan dan pentafsiran undang-undang. Oleh kerana kita memilih cara hidup berdemokrasi, maka soalan-soalan ini adalah terbuka dan akan dilaungkan melalui kotak undi.

Untuk ini, saya ingin menyentuh tentang isu berkaitan

1) Kanun Tanah Negara  (KTN)

Malaysia adalah sesuatu masyarakat kapitalist di mana tanah merupakan salah satu faktor pengeluaran yang utama. Tanah di luar bandar banyak digunakan untuk pengeluaran makanan, manakala tanah di bandar pula menjadi punca menjana kekayaan. Pendeknya, sama ada di bandar ataupun di desa masing-masing telahpun menyumbang kepada pembangunan Negara. Seperti juga negara Asia Tenggara yang lain, di Malaysia, pemilikan tanah terutamanya di bandar menjamin lebih peluang perniagaan dan kekayaan.   

Berhubung perkara ini, Seksyen 340 Kanun Tanah Nasional telah memberi jaminan bahawa pemilik tanah mempunyai hak ketidakbolehsangkalan; walau bagaimanapun Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan bahawa, segala urusan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Dalam konteks ini, KTN membenarkan Pihak Berkuasa Negeri memberi milik kepada pihak-pihak yang tertentu sama ada secara “freehold” (dengan izin) ataupun secara pajakan (“leasehold”). Bagi kes pajakan, adalah munasabah bahawa syarat-syarat tertentu mestilah dipenuhi sebelum Pihak Berkuasa Negeri, boleh meluluskan suatu permohonan pindah milik atau gadaian. Ini adalah tindakan perlu bagi memastikan tanah yang tersebut tidak akan dipindah milik atau digadaikan sewenang-wenangnya. Polisi ini adalah penting untuk memberi perlindungan kepada penduduk tempatan agar hak milik tanah-tanah di tanah air terus terpelihara dan tidak jatuh ke dalam tangan warga negara asing.

Proses urbanisasi telah memberi tekanan kepada penggunaan tanah yang membawa kepada pelbagai masalah sosial seperti sesakan lalu lintas serta harga hartanah yang terlalu tinggi sehingga di luar kemampuan golongan berpendapatan rendah. Keadaan ini bertambah merunsingkan apabila rakyat dibebani dengan birokrasi proses transaksi yang rumit dan kes pemalsuan.

a) Proses melanjutkan tempoh pajakan tanah tidak patut dilengahkan tanpa sebab-sebab yang munasabah.

Kerajaan haruslah memandang serius terhadap pindah milik tanah dan lanjutan tempoh pajakan bagi tanah yang dipajak. Ini penting bagi mengelakkan kesengsaraan dan ketidaktentuan di kalangan pemilik tanah atau benefisiarinya. Sekiranya tidak, ia boleh menjadi suatu isu perbahasan semasa pilihanraya akan datang.

Sehubungan dengan itu, Tuan yang dipertua,

Saya mencadangkan supaya tempoh pajakan tanah dilanjutkan secara otomatik, selagi premiumnya dibayar. Kadar premiumnya pula, haruslah ditentukan, berdasarkan kepada taksiran yang dibuat oleh penilai bebas (independence valuer); dengan berasaskan kadar-kadar standard yang telah ditetapkan.

Penyewa tanah tidak harus dipaksa hidup dalam dilemma, menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan kelulusan dari Pihak Berkuasa Negeri. Di Machap misalnya, sesetengah penyewa tanah telah menunggu selama 10 tahun semata-mata untuk mendapatkan kebenaran untuk melanjutkan tempoh pajakan tanah mereka. Akhirnya kebenaran itu telah mereka perolehi dalam masa seminggu setelah perkara itu dikemukakan kepada Menteri Besar Melaka sendiri semasa pilihanraya kecil diadakan baru-baru ini. Persoalannya ialah jika kebenaran itu boleh diproses dan diluluskan oleh pihak berkuasa dalam masa seminggu, kenapa pula ia harus dilengah-lengahkan sehingga menyengsarakan hidup petani?

Selain itu, pajakan juga patut disambung dan dilanjutkan berdasarkan syarat yang asal, kecualilah telah wujud pelan yang konkrit bahawa tanah tersebut perlu diambil balik Pihak Berkuasa Negeri untuk satu tujuan yang mustahak. Sehubungan ini, pindaan polisi tanah negeri dan pelan pembangunan induk mestilah telus dan diketahui umum. Polisi-polisi sebegini juga tidak patut sengaja dikategorikan sebagai sulit (atas sebab-sebab yang tidak sah).

Selain itu, penilaian haruslah dibuat ke atas keberkesanan penggunaan tanah demi mengelakkan penyalahgunaan ataupun sebarang penyelewengan, seperti kes yang berlaku di Lojing, Negeri Kelantan.

b) Selain itu, Kes Pemalsuan urusniaga tanah juga turut harus diberi perhatian.

Tuan yang dipertua,

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kes fraud/ pemalsuan dalam transaksi tanah telah semakin berleluasa. Walaupun sebahagiannya telahpun diberi penghakiman oleh mahkamah, tetapi masih banyak lagi kes-kes yang masih tergantung dan besar kemungkinan, banyak lagi belum dilaporkan ataupun yang lebih serius lagi, belum disedari atau diketahui oleh pemilik tanahnya sendiri.

Berhubung dengan ini, mengikut petikan akhbar di NST pada 17hb Mac 2007, Majlis Peguam Malaysia telah menegaskan bahawa masalah ini telahpun sampai ke tahap yang amat membimbangkan dan menggesa supaya tindakan pemulihan diambil segera oleh kerajaan bagi menangani masalah ini. Mengikut laporan ini juga, kebanyakan kes penipuan melibatkan tanah kosong yang lama terbiar, pemilik yang buta huruf, ataupun warga tua yang cuai.

Untuk makluman dewan yang mulia ini,

Dalam kes Boonsom Boonyanit yang dihakimkan pada tahun 2001, seseorang pemilik (bona fide) iaitu pemilik sebenar boleh kehilangan hak ketidakbolehsangkalan tanahnya melalui suatu instrumen urusniaga yang palsu. Keputusan mahkamah ini telah dikritik dan menimbulkan konfrontasi kerana ia boleh mengakibatkan lebih ramai pemilik-pemilik bona fide seperti Boonsom, kehilangan tanah mereka dan menjadi mangsa urusniaga pemalsuan. Sudah tentu keputusan kes ini telah menimbulkan kebimbangan dan kegelisahan di kalangan rakyat jelata terutama sekali mereka yang banyak memiliki tanah.   

Tuan yang dipertua,

Ini kerana, ekoran daripada kes Boonsom, kini, seseorang pemilik tanah yang menjadi mangsa sesuatu kes pemalsuan akan kehilangan tanah dan segala-galanya tanpa sebarang pampasan, di samping itu, beliau juga mungkin terpaksa membayar sejumlah kos guaman yang tinggi. Ini jelaslah tidak adil.

Menurut prinsip keadilan yang saya sebutkan sebelum ini, peraturan-peraturan dan hukuman yang berkenaan jelaslah tidak mencukupi, untuk menjamin keadilan kepada rakyat sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita.

Masalahnya ialah, kelemahan yang ada pada sistem semasa kita sendiri, telah membenarkan hak milik dipindah melalui cara pemalsuan, selagi dapat dibuktikan bahawa pembeli tanah itu telah membelinya secara ikhlas (bona fide). Maka, saya dengan ini mencadangkan supaya satu skema diwujudkan seperti yang diamalkan di Australia dan di New Zealand, untuk memampaskan mangsa-mangsa kes pemalsuan tanah, yang telah menglami kerugian kerana sistem perundangan semasa kita.

Untuk tujuan ini, pihak-pihak kerajaan negeri haruslah mempertimbangkan untuk menubuhkan sebuah tabung pampasan, khas untuk mangsa-mangsa ini. Ini boleh dilaksanakan dengan memperuntukkan sebahagian daripada kutipan yuran pendaftaran urus niaga tanah ke dalam tabung ini.  

c) Tuan yang dipertua, seterusnya saya memohon izin untuk menyentuh tentang isu Tanah kebun di luar bandar

Kepada penduduk luar bandar, tanah merupakan punca mata pencarian mereka. Ia menyokong kehidupan masyarakat luar bandar serta menjadi asas kepada industri “downstream”. (dengan izin )

Sejak saya dilantik sebagai ahli Dewan ini beberapa bulan yang lalu, saya telah berpeluang untuk membuat lawatan dan berinteraksi dengan komuniti pekebun luar bandar di daerah Kinta, Perak. Sepanjang lawatan saya, saya telah dimaklumkan dengan pelbagai masalah yang dihadapi mereka. Majoritinya berkenaan dengan isu penerokaan tanah kerajaan negeri tanpa izin, penanaman tidak terkawal yang mengakibatkan kemerosotan harga hasil tanaman serta penggunaan racun serangga yang berlebihan dan ketidaksanggupan untuk menghadapi persaingan global. Saya amat pasti bahawa masalah sedemikian juga berlaku di negeri-negeri yang lain.

Selain itu, isu penggunaan racun serangga yang tidak terkawal yang akhirnya mengakibatkan keracunan sayur-sayuran juga amat membimbangkan kerana kesihatan kita dan anak-anak kita akan terancam, jika masalah ini tidak dibendung.

Masalah “illegal farming” (penerokaan tanpa izin) ini tidak harus dipandang secara ringan sekadar masalah pekebun yang berusaha di atas tanah milikan kerajaan. Ini kerana pada hakikatnya, ramai di antara mereka ini pernah memegang hak milik pajakan yang sah sebelum itu. Apa yang berlaku ialah, apabila tempoh pajakan mereka tamat, mereka pun memohon supaya pajakan dilanjutkan semula. Masalahnya ialah permohonan mereka biasanya tergantung dan kelulusan tidak dapat diperolehi walaupun telah menunggu berpuluh-puluh tahun.

Untuk makluman dewan yang mulia ini,

Sesetengah daripada petani ini telahpun bercucuk tanam dan menetap di kawasan tersebut sejak dua atau tiga generasi yang lalu. Dan di situlah satu-satunya mata pencarian mereka untuk menyarai kehidupan seisi keluarga mereka. Saya juga menyaksikan bahawa kaum pemuda, iaitu anak-anak mereka telah pulang ke pangkuan masyarakat kampungnya untuk membantu ibu bapa di kebun di samping mencari peluang untuk menceburkan diri dalam sektor pertanian moden, sebagaimana yang disarankan oleh polisi nasional kita.

Tuan yang dipertua, kita sedia maklum bahawa,

Pajakan tanah negeri untuk tujuan sosial politik bukanlah satu isu yang baru. Sejak tahun 1930an, kebanyakan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia telah menggazetkan sebahagian besar tanah yang tertentu untuk dijadikan Tanah Simpanan Melayu. Ia kemudiannya dibahagikan kepada Tanah Simpanan Melayu untuk tujuan pertanian luar bandar dan untuk pembangunan bandar.

Untuk makluman dewan yang mulia ini, mereka yang digelar “pekebun haram” atau peneroka tanpa izin ini bukanlah berusaha di atas tanah simpanan. Sebaliknya kebanyakan tanah yang diterokai mereka adalah tanah pasir di sekitar bekas lombong bijih timah yang telah lama terbiar sejak zaman jajahan British kerana tidak subur dan tidak sesuai untuk bercucuk tanam. Atas usaha gigih mereka inilah, tanah pasir yang tidak subur tersebut, telah pun disuburkan melalui treatment untuk tanaman sayur. Akan tetapi masa depan mereka ini masih kabur disebabkan polisi tanah dan pelan pembangunan pihak negeri yang tidak jelas ataupun tidak transperan. Yang menyedihkan lagi, mereka boleh disingkirkan keluar bila-bila masa walaupun permohonan telah dibuat tahun demi tahun.

Ada yang mengadu bahawa kerap kali tanah mereka telah diambil alih oleh pegawai pejabat tanah, kepada sesiapa mereka telah mengemukakan permohonan dan kepadanya juga mereka telah memaklumkan tentang lokasi tanah yang diterokai dan harapkan bantuan ini. Tetapi, apa yang berlaku pula bagaikan perpatah Melayu yang berbunyi “Harapkan pagar, pagar makan padi”.  Sungguhpun ramai di antara mereka ini telahpun mahir dan berpengalaman dalam bidang pertanian dan telah banyak melabur untuk menguasai teknologi termoden dan pengetahuan terkemaskini. 

Tuan yang dipertua,

Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) telah menyarankan penubuhan TKPM “Taman Kekal Pengeluaran Makanan” (Permanent Food Parks) sebagai langkah untuk menjamin pengeluaran makanan yang mencukupi untuk rakyat Malaysia dan generasi-generasi akan datang. Sehubungan dengan itu, saya bercadang supaya konsep TKPM ini diperluaskan ke kawasan-kawasan strategik dan merangkumi pekebun-pekebun tradisional berbilang kaum dan bangsa. Dengan ini, segala kemahiran dan pengalaman boleh dikongsi demi kepentingan bersama melalui amalan bantu-membantu, di samping menyumbang ke arah memupuk keharmonian kaum dan perpaduan Negara.

Sebagai insentif, pekebun-pekebun ini haruslah diberi tempoh pajakan yang lebih panjang (Contohnya, 30 tahun) dengan kadar premium yang berpatutan. Walau bagaimanapun, segala syarat-syarat dan peraturan berkenaan amalan pertanian yang betul haruslah ditetapkan oleh pihak-pihak berkuasa. (Contohnya, panduan tentang cara penggunaan ubat membunuh serangga dan baja). Selain itu, hasil pengeluaran haruslah melebihi RM3000 sebulan. Sekiranya tidak, pajakan mereka boleh ditarik balik. Syarat-syarat ini adalah penting bagi mengelakkan masalah tanah terbiar ataupun diusaha dengan kadar efisensi yang terlalu rendah.

Saya percaya bahawa, jika cadangan ini digunapakai, ia akan membawa kebaikan-kebaikan seperti berikut:

a)    menyokong dan memantapkan komuniti pekebun luar bandar

b)    menaikkan taraf kualiti produk pekebun luar bandar.

c)    menyelesaikan isu masalah tanah yang telah lama tergantung

d)    memupuk keharmonian antara kaum dan perpaduan Negara.

2) Usul saya yang seterusnya ialah Sistem perolehan sektor awam

Tuan yang dipertua,

Sistem perolehan yang lengkap dan rapi akan membantu dalam mencapai matlamat pembangunan sosial dan ekonomi sesebuah Negara. Yang antaranya, tidak lain dan tidak bukan, adalah seperti membasmikan kemiskinan, melindungi hak kaum minoriti seperti masyarakat orang asli, merapatkan jurang pendapatan, mewujudkan peluang pekerjaan, membaiki persekitaran bekerja, membangunkan industri kecil dan sederhana (SME) tempatan, ataupun memelihara ciptaan dan inovasi tempatan. Sememangnya, kita percaya bahawa, kesemua matlamat ini boleh dicapai melalui perlaksanaan polisi perolehan yang baik dan berkesan.

Walau bagaimanapun, kecenderungan yang terlalu menekan kepada polisi seperti kuota dan dasar-dasar tertentu telah mengakibatkan pembaziran sumber, ketidakberkesanan kos, kelewatan dan seterusnya menyulitkan kehidupan rakyat.

Misalnya, menurut senarai perolehan kerajaan, yang terpapar di laman web perbendaharaan kita, jelas menunjukkan bahawa kontrak perolehan untuk 30 item atau lebih termasuklah lampu jalan raya, segala peralatan, pembelian kenderaan, servis dan pemeliharaan bus, pembelian perabut plastik, beg, bendera, dan barang-barang lain telah diberikan kepada 3 atau 4 buah syarikat yang tertentu sahaja. Semua kontrak ini adalah baru dan trend ini hanya bermula 12 hingga 18 bulan yang lalu. Tempoh kontrak bekalan ini adalah di antara 18 hingga 36 bulan.

Kelemahan sistem tender tertutup ini juga boleh diperlihatkan dari beberapa kes kecacatan bangunan baru kerajaan yang dilaporkan baru-baru ini seperti kebocoran air di Jabatan Imigresen, keruntuhan siling di Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, serta retakan dinding di bangunan mahkamah baru di Jalan Duta. Yang lebih mengejutkan pula ialah kontraktor yang berkenaan pula enggan membenarkan pihak kerajaan untuk membuat pemeriksaan ke atas bangunan yang telah dikenalpasti bermasalah ini. Kononnya berpegang kepada peruntukkan yang ada dalam perjanjian kontrak.

Persoalannya ialah, siapakah kontraktor ini sehinggakan mereka begitu berani berkelakuan ingkar kepada arahan dan mencabar digniti kerajaan? Mengapa pula perkara ini sanggup diterima kerajaan tanpa sebarang tindakan?

Tuan yang dipertua,

Mengikut laporan audit Negara tahun 2005, sebanyak 33 buah hospital kerajaan yang didirikan di bawah Rancangan Malaysia Kelapan telah dilaksanakan tanpa sebarang tender terbuka. Laporan ini juga menyatakan sebilangan daripada bangunan hospital ini telah didapati tidak menepati syarat ataupun taraf yang dikehendaki serta kurang berkualiti. Perkara ini telahpun disahkan oleh Menteri Kesihatan kita sendiri.

Selain itu, Menteri Kewangan II, Tan Sri Mohd. Nor dan Timbalan Ketua Audit Negara Encik Anwar juga mengakui bahawa majoriti tender kontrak kerajaan telah diberikan kepada kontraktor yang tidak berkemahiran dan kurang kemampuan dari segi kewangan. Perkara ini turut diakui Perdana Menteri bahawa punca utama berlakunya kecacatan pada projek kerajaan ialah ramai kontraktor bumiputra telah menjualkan kontraknya kepada orang lain setelah mendapat tender berkenaan.  

Persoalannya ialah, setelah mengesani tentang kelemahan-kelemahan ini yang berpunca daripada tender, mengapakah kita tidak mengadakan tender secara terbuka? Mengapakah hanya 3 atau 4 buah syarikat tertentu sahaja, yang selalu diberikan kontrak? Apakah kriteria pemilihan kontraktor syarikat ini? Siapakah yang akan menentukan penerima dan tempoh kontrak? Adakah kontrak-kontrak ini akan diperbaharui dan dilanjutkan apabila tamat tempohnya nanti? Bagaimanakah syarikat-syarikat ini dinilai dari segi perlaksanaan dan penyerahannya? Dan yang lebih penting lagi, adakah syarikat-syarikat yang lain boleh dipertimbangkan?

Tuan yang dipertua,

Kita sedia maklum bahawa menghadkan perolehan sektor awam kepada beberapa syarikat bumiputra sahaja, bukanlah strategi berkesan, untuk meningkatkan daya saing terutama dalam menghadapi persaingan global. Sekiranya perolehan sektor awam hendak dijadikan, peralatan untuk mencapai matlamat pembangunan sosial ekonomi, maka kita juga harus membina daya tahanannya ataupun yang disebut “resilience” (dengan izin).

Selain itu, jika kuota perlu ditetapkan, maka ia haruslah telus, jelas, dan dipraktikkan secara saksama. Semua syarikat yang layak haruslah, dibenarkan mengekses kepada maklumat sepenuhnya dan seterusnya diberi peluang, untuk membuat tawaran. Suatu sistem tender awam secara terbuka tanpa sekatan yang berdasarkan harga (unrestricted Public Open Tender Price Preference System, atau singkatan U-OPPS) bagi semua barangan patut diadakan, kecualilah bagi jenis barangan di bawah perlindungan khas.

Tuan yang dipertua,

Setelah 30 tahun kita melaksanakan Rancangan Ekonomi Baru, sebilangan besar rakyat kita telahpun dilengkapi dengan kemahiran dan kapasiti di pelbagai bidang, contohnya di bidang petroleum, industri otomobil, telekomunikasi, perbankan dan pengangkutan. Oleh itu, bukanlah semua syarikat bumiputra adalah lemah dan kurang daya saingnya. Sebaliknya pula, bukanlah semua syarikat bukan bumiputra, yang kuat dalam semua bidang. Pada hakikatnya, lebih daripada 70%, daripada syarikat bukan bumiputra yang berdaftar ini adalah jenis milikan tunggal ataupun milikan kekeluargaan, yang bersaiz kecil atau sederhana.

Maka dengan itu, Sistem U-OPPS, pastilah lebih sesuai digunapakai untuk mencapai objektif sosial kita kerana ia memberikan satu jadual “preferential treatment” dan mengelakkan ketidakpastian. Di samping itu, mekanisma transparent sudah pasti akan membawa kebaikan dari segi mengukuhkan kapasiti SME di samping mengurangkan penyelewengan dan rasuah.

Tuan yand dipertua, usul saya yang seterusnya adalah berkenaan perolehan GLC.

Berhubung dengan ini, saya bercadang supaya, dalam usaha kerajaan dan matlamat pembangunan Negara untuk membendung SME, GLC serta subsidiarinya juga tidak harus dibenarkan untuk terlibat dalam perolehan kerajaan. Pengecualian hanya dibenarkan dalam keadaan sama ada, ia adalah berkaitan dengan isu keselamatan Negara, ataupun produk berkenaan, tidak terdapat dalam pasaran, kerana masalah hak cipta, paten atau isu agen pengagihan terhad.

Ini adalah kerana, seperti yang sedia maklum, kerajaan telahpun mencurahkan, berjuta-juta ringgit untuk membantu GLC-GLC ini. Oleh itu, adalah tidak adil jika mereka masih lagi bergantung kepada kerajaan untuk “survival” (dengan izin) mereka dan pada masa yang sama, merebut peluang dan mengetepikan peniaga SME yang masih lemah. 

Selain itu, dalam proses transformasi GLC, ramai pembekal dan vendor yang asal, telahpun dihentikan kontraknya, atas alasan bahawa, syarikat mereka tidak disenaraikan sebagai syarikat bumiputra, sedangkan mereka ini, telahpun memenuhi syarat kuota 30% milikan bumiputra, sebagaimana yang termaktub dalam polisi Negara kita.

Tuan yang dipertua,

Kita semua sedia maklum bahawa usaha transformasi GLC adalah untuk menjadikan mereka, lebih bertanggungjawab terhadap prestasinya. Maka dengan itu, penilaian ke atas pembekal haruslah dibuat, berdasarkan kepada keupayaan, keberkesanan serta kualiti bekalannya. Pada masa yang sama, bukanlah senang, untuk kita mengenalpastikan sama ada sesebuah syarikat itu benar-benar merupakan milikan bumiputra ataupun sebaliknya. Justeru itu, saya menyarankan supaya sistem U-OPPS dipraktikkan secara serentak di semua GLC. Ini adalah kerana GLC merupakan “milikan semua rakyat”, tanpa mengambil kira kaum, agama dan bangsa.

Selain itu, semua GLC haruslah “transparent”, telus dan jelas tentang polisi bumiputranya. Segala peraturan serta cara perlaksanaannya juga seharusnya dimaklumkan kepada umum. Rekod perakaunannya haruslah jelas dan dapat menunjukkan agihan sumber-sumbernya ke arah pencapaian objektif social seperti pembangunan Negara dan pemeliharaan alam sekitar, di samping mencapai keberkesanan kos dan memperolehi keuntungan.

Tuan yang dipertua,

Kita semua sedar tentang pentingnya, keseimbangan tanggungjawab sosial ekonomi masyarakat kita, tetapi, perkara ini haruslah ditangani secara baik supaya ia tidak membawa kesukaran atau kesulitan yang serius kepada peniaga-peniaga kecil biasa.

Misalnya, dalam kes Malayan Banking Berhad, yang baru-baru ini telah menetapkan suatu polisi baru, yang memandatorikan, semua syarikat peguam panelnya supaya sekurang-kurang 50% daripada saham syarikatnya adalah dimiliki bumiputra.

Tuan yang dipertua,

Saya pasti, dan saya yakin bahawa, ini bukanlah kehendak Bank Negara. Ia tidaklah juga termaktub dalam mana-mana pelan induk kewangan Negara. Pelan Induk Kewangan Negara telah sebaliknya, mengesyorkan pelbagai cadangan untuk meliberalisasikan industri kewangan dan perbankan.

Tuan yang dipertua,

Jika polisi baru ini adalah untuk menggalakkan penglibatan kaum Bumiputra, maka ia akan mendorong lebih banyak syarikat “Ali Baba” ,  tidak kira sama ada syaratnya ialah 30% ataupun 50%.

Yang aneh dan yang lebih menyedihkan ialah, semasa kerajaan sedang berusaha, bersusah payah menetapkan polisi nasional, untuk meningkatkan daya persaingan global kebangsaan, di sebaliknya, terdapat segelintir pegawai dan birokrats di sektor awam dan juga swasta yang masih terikat, dengan formula agihan tahun tujuh puluhan, dengan arena dan kaca mata yang dihadkan dalam kontek perkauman.

Mereka ini seumpama batu penghalang kepada kemajuan dan perpaduan Negara. Demi menegakkan keutuhan Perlembagaan Negara, tindakan tegas haruslah dikenakan ke atas golongan ini lebih-lebih lagi mereka yang telah sengaja, menetapkan polisi dan peraturan sendiri dengan sewenang-wenangnya, yang nyata, bercanggah dengan dasar dan polisi negara.

Tuan yang dipertua, seterusnya, saya memohon izin untuk beralih kepada:

Masalah golongan muda muflis kerana penggunaan kad kredit

Kita sedia maklum bahawa kemudahan memperolehi kad kredit dan pinjaman belian, akibat aktiviti promosi kad kredit yang agresif serta syarat permohonan yang longgar; dikatakan banyak mendorong kepada, gaya berbelanja di luar kemampuan, terutama di kalangan remaja. Setakat bulan Februari, sebanyak 153,676 kes iaitu 20% daripada kebankrapan yang difailkan adalah kerana gagal menjelaskan hutang kad kredit. Daripada jumlah ini, 8% melibatkan golongan yang berumur kurang 30 tahun.

Menurut Laporan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Mohd. Razif Abdul Kadir, sehingga November 2006, sebanyak 8.8 juta kad kredit, telah dikeluarkan oleh institusi kewangan, di seluruh Negara dengan purata, setiap pemilik mempunyai lebih daripada 3 kad kredit. Yang sungguh membimbangkan, ialah, kira-kira 40% daripada pemegang kad kredit di Negara ini, gagal menjelaskan hutang mereka, dengan jumlah mencecah RM18.6 billion. Keadaan ini jika tidak dikawal boleh memudaratkan Negara lebih-lebih lagi ia melibatkan generasi remaja kita. Oleh itu adalah dicadangkan

1)    agar Bank Negara Malaysia dapat mencari kaedah terbaik untuk mengetatkan kriteria yang melayakkan seseorang memohon kad kredit; Selain itu,

2)    Program kesedaran umum untuk mendidik orang ramai tentang cara pengurusan kewangan seimbang juga harus dilancarkan. Ini adalah kerana, kad kredit dan pinjaman boleh menjadi mekanisme yang amat berguna dalam merancang perbelanjaan serta pelaburan, jika digunakan dengan bijak.

Tuan yang dipertua, seterusnya izinkan saya berbincang tentang isu Cuti Bersalin

Saya ingin mengucapkan syabas kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang telah berjaya menggubal Akta Perlindungan Wanita bagi melindungi wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa gejala sosial dan perlukan bantuan.

Selain itu, saya juga ingin mencadangkan agar cuti bersalin ibu dilanjutkan daripada 60 hari kepada 84 hari iaitu 12 minggu seperti mana yang dipersetujui kerajaan Malaysia semasa konvensyen Perlindungan Maternity ILO pada tahun 2000.

Tuan yang dipertua,

Kadar penglibatan wanita Malaysia di pasaran kerja masih rendah. Statistik menunjukkan sejak tahun 70an, sehingga kini, hanya 47% daripada wanita yang berada dalam lingkungan umur tenaga kerja (iaitu antara umur 19-55 tahun) menceburkan diri di pasaran kerja, berbanding dengan 60% di Negara maju. Mengikut laporan ILO (International Labour Organization), Malaysia merupakan antara 25 negara daripada 152 negara yang masih memperuntukkan cuti bersalin sekadar 60 hari. Tempoh ini adalah dianggap terlalu singkat mengikut piawaian antarabangsa.

Untuk makluman dewan yang mulia ini, sehingga hari in, 80% daripada Negara-negara di dunia ini telahpun membenarkan cuti bersalin selama 12 minggu dan ke atas. Ini termasuklah Negara-negara jiran kita seperti Singapura dan Indonesia. Konvensyen Perlindungan Maternity ILO pada tahun 2000 telah menetapkan minimum 14 minggu sebagai cuti bersalin minima, walau bagaimanapun, Malaysia telahpun bercadang untuk melanjutkan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 84 hari iaitu 12 minggu, tetapi malangnya belum lagi dikuatkuasakan sehingga kini.

Perkara ini sebenarnya pernah dikemukakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Hajah Shahrizat kepada Kabinet tetapi ditahan kerana mengkhuatiri perlaksanaannya mungkin menjejaskan pengeluaran dan keberkesanan pentadbiran. Alasan-alasan seperti ini adalah tidak munasabah dan perlu dikaji semula.

Tuan yang dipertua,

Kepentingan Perlindungan Maternity telah digariskan dalam Konvensyen Perlindungan Maternity No. 183 (2000) dan Rekomen No. 191. Ia adalah penting dalam menghapuskan diskriminasi terhadap wanita disebabkan oleh peranan wanita yang reproduktif, di samping untuk menggalakkan keseimbangan dalam aspek-aspek seperti pekerjaan, kesihatan dan keselamatan bagi wanita yang mengandung ataupun ibu-ibu dan kanak-kanak. Ini adalah kerana tempoh rehat yang mencukupi merupakan satu ukuran pencegahan yang penting. Selain itu, bekerja semula terlalu awal selepas bersalin mungkin akan meningkatkan risiko “acute complications” yang mungkin mengancam kesihatan. Tambahan pula, cuti bersalin membolehkan wanita menyusui dan membelai bayi mereka dengan susu ibu (breast feeding) yang telah dikenalpasti lebih sihat dan lebih berkhasiat, untuk menjamin generasi akan dating yang lebih sihat dan seimbang.

Sehubungan dengan itu, saya menyarankan supaya cuti bersalin dapat dilanjutkan daripada 60 hari kepada 12 minggu dan diperkuatkuasakan secepat seperti yang dipersetujui oleh kerajaan Malaysia semasa Kepentingan Perlindungan Maternity pada tahun 2000.

Tuan yang dipertua,

Akhir sekali, pembangunan dan kemajuan sesebuah Negara adalah bergantung kepada kerjasama semua pihak, dengan berasaskan Perlembagaan Negara, dan kesetiaan terhadap Negara kita yang tercinta ini. Marilah kita bersama-sama berganting bahu bermuafakat dan berusaha untuk mencapai penambahbaikan yang berterusan, demi keharmonian, kemajuan dan perpaduan Negara.

Dengan ini, saya memohon menyokong Usul Titah Ucapan Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.    

MALAYSIAN CHINESE ASSOCIATION HEADQUARTERS
8th Floor, Wisma MCA, 163, Jalan Ampang, 50450 Kuala Lumpur, Malaysia. Tel: (603)-21618044 Fax: (603)-21619772
Copyright @2007 Malaysian Chinese Association. All Rights Reserved.