Setiap tahun, tanggal 8 Mac merupakan Hari Wanita Antarabangsa yang disambut sebagai menghargai dan mengiktiraf sumbangan serta jasa wanita yang signifikan terhadap pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

Secara peribadi, sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada tahun ini begitu bermakna dalam diri saya kerana ini merupakan tahun pertama saya menyambutnya sebagai Ketua Wanita MCA Kebangsaan selepas tempoh Datuk Heng Seai Kie berkhidmat dalam jawatan ini telah tamat pada 19 Disember tahun lalu.

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Heng Seai Kie untuk segala jasa, pengorbanan dan perkongsian yang telah beliau lakukan demi Wanita dan parti sepanjang menjadi Ketua Wanita MCA Kebangsaan sejak 20 Disember 2013.

Saya akan terus membawa semangat beliau untuk memikul amanah ini sebaik mungkin, dan memperkasakan agenda berkaitan hak-hak dan kebajikan kaum wanita. Wanita MCA juga akan terus komited memperjuangkan isu kemasyarakatan khususnya yang berkait rapat dengan wanita dan kanak-kanak.

Wanita MCA sentiasa bersedia dan terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan semua pihak tanpa mengira perbezaan politik sekiranya ada perkara atau isu berkaitan yang memerlukan sokongan dan bantuan Wanita MCA.

Tema Hari Wanita Antarabangsa 2023 ialah 'KASIH Wanita' yang membawa konsep Kasih sayang, Akhlak mulia, Sihat, Ilmu dan Harmoni untuk menghargai Wanita yang sentiasa mencurahkan kasih sayang, mengekalkan akhlak mulia, memastikan diri dan keluarga sihat, sentiasa mempertingkatkan ilmu dan memelihara keharmonian sekeliling.

Pengorbanan wanita terhadap pembangunan keluarga, masyarakat dan negara tiada titik nokhtahnya, mereka sentiasa ingin melakukan yang terbaik untuk mencapai kesempurnaan. Namun, kesempurnaan itu tidak mungkin mampu dicapai hanya dengan usaha sebelah pihak sahaja, ia memerlukan kebersamaan daripada pelbagai pihak.

Untuk kaum wanita diluar sana, marilah kita bersama-sama meraikan kekuatan masing-masing dan menyokong antara satu sama lain, 'wanita inspirasi wanita'. Kukuhkan jaringan sesama kita supaya usaha ini dapat membawa perubahan agar masyarakat di luar sana akan lebih peka dan memberi keutamaan terhadap keselamatan serta kepentingan kaum wanita.

Selamat Menyambut Hari Wanita Antarabangsa 2023!
'KASIH Wanita'.

Wong You Fong
Ketua Wanita MCA Kebangsaan
8 Mac 2023

- MCA Online