Pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa dan Diplomasi MCA, Datuk Nicole Wong menzahirkan penghargaan kepada semua golongan pekerja yang telah menyumbang kepada pembangunan negara dan kestabilan sosial sempena Hari Pekerja yang akan disambut pada 1 Mei ini.

"Tidak kira sama ada anda pekerja di tapak binaan, juruteknik, atau kakitangan awam dan swasta, anda semua merupakan tulang belakang negara. Dengan semangat dan dedikasi yang di bawa, anda turut memyumbang kepada pembinaan asas kemakmuran Malaysia pada hari ini".

Beliau yang juga pegawai khas kepada Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi turut menekankan bahawa kerajaan perlu sentiasa memelihara kebajikan pekerja dengan membina dasar dan sistem perlindungan sosial yang lebih menyeluruh, terutama dalam menangani tekanan ekonomi, kenaikan kos sara hidup, serta cabaran transformasi industri.

Nicole turut mencadangkan agar kerajaan terus memperkukuhkan sistem Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), memperluaskan perlindungan Skim Insurans Pekerjaan, dan memastikan sistem persaraan yang lebih adil serta mampan agar pekerja dan keluarga mereka tidak terdedah kepada risiko kewangan sekiranya berlaku kecemasan atau musibah.

“Golongan pekerja bukan hanya penyumbang kepada ekonomi – mereka adalah teras kepada pembinaan negara. Mereka berhak untuk mendapat pendapatan yang stabil, keselamatan pekerjaan dan hak yang sepatutnya. Ini adalah tanggungjawab negara, bukan sekadar ihsan.”

Tambah beliau, dalam era pendigitalan dan automasi, kerajaan harus berpandangan jauh dengan menyediakan pelbagai peluang latihan semula, pendidikan sepanjang hayat, dan pelan sokongan agar pekerja dapat menyesuaikan diri dengan perubahan industri.

Dalam masa yang sama beliau turut menyeru semua pihak termasuk kerajaan, majikan, dan masyarakat untuk bersama-sama mewujudkan persekitaran pekerjaan yang adil, inklusif dan penuh harapan.

“Hari Pekerja bukan sekadar simbol penghormatan, ia juga peringatan agar kita tidak memandang remeh sumbangan mereka. Kita mesti menanam budaya menghargai kerja dan menyediakan sistem sokongan yang kukuh untuk memastikan kemajuan negara dapat dikongsi oleh seluruh rakyat.”

Penerangan MCA
30 April 2025