Bagi pihak MCA, kami amat mengalu-alukan kedatangan Presiden Maldives, Dr. Mohamed Muizzu ke Malaysia bagi lawatan rasmi sulung beliau sejak dilantik memegang jawatan tersebut pada 17 November 2023.

Lawatan rasmi ini mencerminkan hubungan mesra dan kerjasama erat antara Malaysia - Maldives serta menjadi medan penting dalam memperkukuhkan lagi kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, pelancongan dan ekonomi.

Pada Mei 2023, Malaysia dan Maldives telah menandatangani Perjanjian Penghapusan Cukai Berganda (DTAA), bertujuan untuk mengelakkan pencukaian berganda ke atas pendapatan yang sama selain memberi kepastikan cukai kepada pelabur kedua-dua negara.

Menerusi perjanjian ini, MCA percaya dengan adanya pelbagai sektor pelaburan menarik dan sokongan kerajaan yang kukuh, pelabur dari Maldives akan lebih tertarik untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia.

Antara sektor yang boleh menarik pelaburan ialah tenaga boleh diperbaharui, teknologi dan digital, serta pelancongan dan hospitaliti. Ketiga-tiga sektor ini dipercayai mampu meningkatkan ekonomi kedua-dua buah negara selain turut memberi manfaat kepada rakyat.

MCA turut yakin kerajaan Malaysia akan terus komited untuk bekerjasama rapat dengan Maldives demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat kedua-dua buah negara. Kami juga percaya lawatan ini akan menjadi wadah untuk membuka lembaran baharu dalam hubungan strategik Malaysia - Maldives.

Sudah tentu, MCA akan bersama-sama dengan kerajaan dalam usaha mengeratkan lagi hubungan diplomasi dengan negara luar, seterusnya dapat memberi manfaat khususnya kepada rakyat Malaysia.

Datuk Nicole Wong
Pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa & Diplomasi MCA
28 April 2025