
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan peraturan yang dilihat aneh apabila melarang pihak sekolah meraikan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang, yang difahamkan bertujuan menjaga perasaan pelajar yang mendapat keputusan kurang memberangsangkan.
Di manakah motivasi pelajar untuk berusaha gigih apabila kecemerlangan itu menjadi tabu yang tidak boleh disebut? Dan apa pula perasaan pelajar ini apabila mereka diperlakukan seperti pesalah yang telah melakukan sesuatu yang mengaibkan?
Bagaimana pula dengan pelajar-pelajar yang mendapat kedudukan 10 terbaik dalam kelas, adakah guru akan menyembunyikan identiti mereka, dan menyerahkan buku rekod secara tertutup?
Jika kejayaan pelajar cemerlang akademik tidak boleh dirai, maka adakah perlu temasya sukan tahunan dan lain-lain pertandingan seperti pidato, koir, kuiz dan lain-lain diadakan di sekolah? Semua ini tidak lagi menyeronokkan mahupun memotivasikan apabila pemenang tidak diraikan, dan sorakan diharamkan.
Hakikatnya, perasaan pelajar yang kurang berjaya boleh dijaga dan ditenteramkan dengan memberikan sokongan serta galakan untuk terus mencuba lagi, dan jangan putus asa. Malah, kejayaan pelajar cemerlang boleh dijadikan sebagai motivasi dan inspirasi, bukan perbandingan.
Justeru, KPM haruslah berfikiran terbuka dan bertindak rasional, agar sistem pendidikan kita terus menarik minat pelajar untuk menimba ilmu serta berusaha mengejar pengiktirafan dan nilai-nilai positif tanpa dibatasi oleh pelbagai peraturan yang lari daripada matlamat asal pendidikan.
Felicia Wong
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan MCA
25 April 2025