
Adalah tidak munasabah bagi mangsa letupan paip gas di Putra Heights yang kini dalam proses mencari perumahan sementara baharu untuk dibebani dengan bayaran deposit yang tinggi, sehingga mencecah dua atau tiga bulan kos sewa, memandangkan ramai di kalangan mereka tidak mampu dan masih belum pulih daripada tragedi ini.
Bantuan dana sebanyak RM2,000 oleh kerajaan negeri Selangor sebelum ini amat dialu-alukan, namun ia tidak mencukupi untuk menangani krisis perumahan yang dihadapi para mangsa. Tindakan segelintir tuan rumah yang meminta bayaran deposit yang disifatkan terlampau tinggi adalah tidak munasabah. Adakah mereka mengharapkan mangsa-mangsa yang sudah kehilangan hartanah dan aset mampu membayar deposit ini? Walaupun difahami tuan rumah mahu melindungi hartanah dan pelaburan mereka, namun mereka sepatutnya ada rasa empati dan mengambil kira kesusahan yang sudah diharungi mangsa ini yang sekarang terdesak mencari rumah sementara.
Justeru itu, kerajaan digesa campur tangan dan membantu mempermudahkan rundingan antara tuan rumah dengan mangsa supaya dapat mengecualikan bayaran deposit yang tinggi. Bagi memastikan hanya mangsa-mangsa tragedi Putra Heights dapat menerima manfaat ini, kerajaan bolehlah mengesahkan ini menerusi semakan alamat yang tertera di MyKad mereka.
Selain itu, kerajaan juga boleh mempertimbangkan melanjutkan waktu operasi pusat pemindahan sementara (PPS) untuk memberi mangsa masa yang secukupnya untuk mencari rumah sementara. Ini akan mengelakkan mangsa rasa terdesak seolah-olah “dihalau keluar”.
Ditekankan, akses kepada sebuah rumah yang selamat adalah hak asasi setiap orang. Maka, tuan rumah diminta bertimbang rasa terhadap mangsa-mangsa ini. Mereka kehilangan rumah bukan atas salah mereka sendiri, tetapi kerana satu tragedi yang tidak dijangka. Dalam masa krisis seperti ini, sikap kemanusiaan harus diutamakan, bukan mengaut keuntungan semata-mata.
Dato’ Dr. Monna Ong
Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Dasar Awam dan Penyelidikan Kos Sara Hidup Rakyat MCA
11 April 2025