Sebelum ini, MCA pernah membangkitkan beberapa keraguan berkenaan Dasar Gaji Progresif, khususnya berkenaan kegagalan kerajaan memberi penjelasan bagi beberapa butiran dan mekanisme yang dilihat masih belum diputuskan, sekaligus membawa kepada kebimbangan bahawa dasar ini akan dilaksanakan secara terburu-buru sehingga lebih membebankan rakyat daripada memanfaatkannya.

Kenyataan media MCA sebelum ini;

MCA minta Kementerian Ekonomi jelaskan 5 isu Dasar Gaji Progresif

https://www.mca.org.my/3/Content/SinglePage?_param1=05-022024-192657-02-202405&_param2=TS

Terbaharu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang juga rakan Pakatan Harapan mendedahkan bahawa perangkaan dasar ini dibuat tanpa melibatkan perbincangan dengan pihak berkepentingan, khususnya aktivis kesatuan pekerja dan badan-badan mewakili kebajikan pekerja, mahupun pihak majikan, pemain industri dan sebagainya.

Amat tidak wajar bagi kerajaan untuk bersikap eksklusif dengan mengenepikan pandangan pihak yang akan terkesan secara langsung oleh Dasar Gaji Progresif. Sebaliknya, kerajaan harus lebih terbuka mendengar pandangan lain, walaupun ia mungkin tidak sedap didengar.

Harus diingatkan, ini bukan kali pertama di mana kerajaan terpaksa menarik balik keputusan ataupun dasar selepas dilaksanakan kerana telah menerima kritikan hebat. Pelaksanaan cukai perkhidmatan SST 8 peratus ke atas pengamal perubatan tradisional dan komplementari (PT&K / TCM) yang dibuat tanpa perbincangan dengan pihak berkepentingan akhirnya telah ditarik balik selepas menerima kritikan hebat dari pelbagai pihak dimana MCA antara yang terawal membangkitkan perkara ini.

Justeru itu, diharapkan kesilapan seperti ini tidak berulang. Mana-mana kelemahan diperbaiki dahulu supaya tidak membawa kesusahan kepada rakyat.

Dr Monna Ong
Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Dasar Awam dan Penyelidikan Kos Sara Hidup Rakyat
18 April 2024

- Penerangan MCA