Wanita MCA menggesa kerajaan supaya mengkaji semula secara komprehensif kesan kenaikan kos sara hidup ke atas rakyat. Ini wajar memandangkan rebat 2 sen/kWj bagi isi rumah dengan penggunaan elektrik antara 601 hingga 1,500 kWj telah ditarik balik kerajaan, ditambah pula pengumuman Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bahawa tarif air akan naik purata 22 sen bagi setiap meter padu.

Kenaikan tarif air dan elektrik yang perlu ditanggung rakyat, ditambah pula dengan keputusan kerajaan untuk meningkatkan kadar cukai SST kepada 8% serta memperkenalkan beberapa cukai baharu, sudah tentu membebankan rakyat pada masa ekonomi negara masih lembap, pendapatan terbatas, dan harga barangan naik mendadak.

Dijangkakan sebuah keluarga kecil terpaksa menanggung kenaikan bil elektrik dari RM12 kepada RM32 (kenaikan 4.2 hingga 6%) sebulan, dan kenaikan tarif air antara RM1.60 hingga RM8 sebulan. Sebanyak 47% isi rumah dianggarkan akan terjejas secara terus akibat kenaikan tarif air ini. Lebih membimbangkan, ini belum mengambil kira kesan rantaian yang bakal berlaku akibat kenaikan harga komoditi penting ini.

Sebelum ini di Dewan Rakyat pada tahun lepas, Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong pernah meluahkan kebimbangan bahawa mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) akan menyebabkan kenaikan bil elektrik sebanyak 40%. Walaupun YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kenaikan harga elektrik tidak akan membebankan pengguna domestik serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), namun realitinya adalah pengguna terpaksa menanggung kenaikan kos operasi yang disebabkan kenaikan tarif elektrik.

Manakala antara cukai baharu yang memberi kesan kepada rakyat adalah cukai SST 10% atas Cukai Barang Nilai Rendah (LVGT) melalui platform e-dagang, dan kenaikan cukai minuman bergula dari 40 sen hingga 50 sen seliter. Peningkatan kadar SST dari 6% kepada 8%, ditambah juga dengan cukai ke atas perubatan tradisional dan komplementari (PT&K atau TCM), kesemua ini akan menyebabkan kehidupan seharian rakyat menjadi lebih susah untuk kebanyakan isi rumah. Malah, harga gula juga dijangka meningkat.

Selain itu, kelemahan dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang bertujuan memastikan penyaluran subsidi yang lebih tepat, juga menyebabkan ramai orang teragak-agak untuk mengisi maklumat mereka. Adakah golongan ini akan diabaikan dan tidak dapat menerima subsidi pada masa kelak?

Justeru itu, diharapkan kerajaan mengkaji semula keputusan untuk menaikkan tarif air dan elektrik pada masa ini bagi memberi rakyat ruang untuk bernafas. Janganlah mengenakan kenaikan kos semua barangan pada masa yang sama secara serentak.

Wong You Fong
Ketua Wanita MCA
18 Januari 2024

-Penerangan MCA