Wanita MCA menyambut baik keputusan Kabinet untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan kewarganegaraan secara automatik kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara. Isu ini telah lama diperjuangkan oleh Wanita MCA bersama dengan kumpulan hak asasi manusia dan para ibu yang berjuang bagi mendapatkan hak kerakyatan bagi anak-anak mereka. Perjalanan perjuangan yang sukar ini akhirnya membuahkan hasil dan ini merupakan lonjakan besar yang diambil oleh kerajaan bagi mencapai kesaksamaan gender di negara ini.

Seharusnya tidak timbul sebarang bentuk halangan untuk wanita Malaysia menikmati hak yang sama dengan kaum lelaki Malaysia, ini termasuklah dalam pemberian hak kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan lelaki bukan warganegara Malaysia.

Untuk rekod, Wanita MCA secara konsisten menyuarakan pendirian kami yang tidak berbelah bahagi dalam isu berkaitan melalui kenyataan media dan sesi Dewan Rakyat.

Berhubung hak kewarganegaraan automatik ini, Wanita MCA telah mencadangkan agar perkataan “atau ibu” dimasukkan selepas perkataan “bapa”, atau “ibu dan bapa” dimasukkan dalam Klausa (1)(b) dan (1)(c) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan. Ini bagi mengelakkan berlakunya keraguan demi memastikan kedua-dua ibu atau bapa Malaysia mendapat hak sama rata dalam pemberian kewarganegaraan kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Pada masa ini, lebih daripada 150 negara di seluruh dunia telah meminda undang-undang mereka bagi memberikan hak yang sama kepada kaum lelaki dan wanita untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka. Malaysia kekal menjadi antara 25 negara yang mempunyai perundangan diskriminasi terhadap wanita. Perkara ini tidak lagi relevan memandangkan kita kini berada di zaman serba canggih dan moden.

Wanita MCA sekali lagi menzahirkan ucapan terima kasih dan mengalu-alukan keputusan yang dibuat oleh kerajaan ini. Lonjakan besar ini pastinya menjadi petanda positif bagi Malaysia yang progresif dan melaksanakan agenda reformasi Malaysia Madani.

Wong You Fong
Ketua Wanita MCA Kebangsaan
20 Feb 2023

-Penerangan MCA